Keunikan Nasi Talambed di BeardBrothers BBQ - Utusan Malaysia

Keunikan Nasi Talambed di BeardBrothers BBQ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA selalu ber­ang­gapan stik terbaik hanya ada di negara seperti Amerika Syarikat (AS), Australia atau di beberapa negara Eropah lain.
Namun tanggapan itu silap kerana makanan yang sinonim dengan masyarakat di negara Barat sebenarnya boleh didapati di restoran BeardBrothers BBQ dengan keenakan tersendiri gaya alaTexas di AS.
Apabila datang ke restoran ini, ada beberapa menu wajib dicuba antaranya Nasi Talambed khusus untuk mereka yang mahukan hidangan nasi dan dimakan bersama stik.
Satu perkara yang perlu diingat apabila memesan menu ini adalah saiz hidangannya yang besar dan boleh dimakan sehingga lima ke enam orang.
Bagaimanapun, kekuatan menu ini bukanlah sekadar pada saiz hidangan, sebaliknya kelembutan daging dan berjus dimakan bersama nasi berempah, seakan-akan nasi Arab dicampur dengan gajus.
Selain itu, pengunjung yang memesan menu ini turut didatangkan dengan daging dari beberapa bahagian seperti bahagian bahu dan rusuk kambing.

Nasi Talambed ini dihidangkan dalam talam besar dan turut disertakan sos salsa selain sosej yang dibuat sendiri oleh BeardBrothers BBQ.
Sosej yang mempunyai sedikit rasa pedas ini tidak sama rasanya sebagaimana sosej di pasaran disebabkan kandungan daging asli yang digunakan.
Ketulan daging boleh terasa pada setiap gigitan sosej ini selain mempunyai rasa rempah yang lengkap.
Sos salsa dan campuran bawang merah, timun dan cili turut didatangkan bersama hidangan ini.
Bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh mencuba tiga jenis sos lain iaitu Keramat Spicy Sauce; Homemade Here’s The Lamb Sauce, Gordon dan Homemade White Alabama Chicken Sauce.
Harga untuk menu bersaiz besar ini adalah RM169.
Bukan sekadar Nasi Talambed, restoran ini turut menyediakan pelbagai menu lain yang bukan terhad kepada daging lembu atau kambing, sebaliknya ayam mahupun salmon.
Turut terdapat di sini adalah beberapa menu sampingan lain seperti kentang putar, brotato bun dan bakon yang sesuai untuk kanak-kanak.

Menu kegemaran
Di samping itu, menu lain yang menjadi kegemaran pelanggan lain apabila datang ke sini adalah set Triple Threat yang terdiri daripada 100 gram daging brisket; rusuk kambing; kentang putar dan beberapa makanan sampingan lain.
Dalam pada itu, pitmaster, Nazri Jameson berkata, untuk menghasilkan stik yang sempurna, beberapa piawaian dan standard perlu dijaga.
“Antaranya kawalan suhu, pemilihan kayu api dan asap yang perlu dikawal agar dapat memastikan daging dimasak sempurna.
“Bagi saya, ia umpama sebuah karya yang mempunyai kenikmatan tersendiri apabila dimakan terutama bersama keluarga,” jelasnya.
Katanya lagi, harga menu berasaskan stik di sini juga ditetapkan berdasarkan berat bermula dari 100 gram (saiz kecil); 200 gram (saiz normal) dan saiz besar.
BeardBrothers BBQ terletak di Tropicana Golf & Country Resort, P-G-01, Tropicana Avenue, 47410 Petaling Jaya dan dibuka setiap hari. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya