Bawal Sendeng gamit penggemar menu ikan bawal goreng - Utusan Malaysia

Bawal Sendeng gamit penggemar menu ikan bawal goreng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI SEBALIK kenaikan kos harga barangan ketika ini, ia bukan menjadi halangan untuk pasangan suami isteri, Zahriman Harun 59, dan isteri Hamamah Mohd. Tifly 44, melebarkan perniagaan dalam bidang makanan dan minuman yang diceburi mereka.
Selepas menjalankan perniagaan katering dan mempunyai dua dewan perkahwinan, selain sebuah restoran yang menyajikan makanan ala-Barat, pasangan suami isteri ini membuka sebuah lagi kedai makan yang dinamakan Bawal Sendeng.
Baru sahaja lebih sebulan dibuka di Jalan Jelebu, Ampangan, Seremban, Bawal Sendeng tampil dengan menawarkan hidangan makan tengah hari dengan pelbagai menu lauk-pauk kampung.
Zahriman berkata, seperti namanya, menu ikan bawal goreng menjadi pilihan utama pelanggan di restoran berkenaan.
“Di Bawal Sendeng kami ketengahkan juga set-set makan tengah hari. Tentu sekali ikan bawal segar yang digoreng panas-panas paling mendapat permintaan. Jarang ada pengusaha kedai makan yang menawarkan menu ini.
“Selain itu, ada menu makan tengah hari lain seperti ikan keli dan ayam yang digoreng berempah. Olahan kesemua makanan di Bawal Sendeng ini semuanya pasti menepati cita rasa orang ‘nogori’,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Zahrimanmenambah, kesemua set makanan tengah hari ditawarkan dengan harga yang berpatutan malah disediakan oleh tiga chef berpengalaman yang diketuai Chef Mohd. Solihin Tajudin.
“Set Bawal Sendeng dijual pada harga RM16.30, set ikan keli dan set ayam goreng berempah masing-masing dijual dengan harga RM10 serta aneka lauk-pauk dengan harga bermula RM5 sehingga RM13,” terangnya.
Tambahnya, Bawal Sendeng kini turut menyajikan menu sarapan serta minum petang.
“Untuk sarapan, kami juga menyediakan sarapan ala-Inggeris dengan harga RM22 dan spageti aglio olio berharga RM18,” katanya lagi yang memberitahu idea untuk memberikan nama Bawal Sendeng datangnya dari sebuah masjid berhampiran iaitu Masjid Jamek Dato’ Klana Petra Sendeng.
Sementara itu, Zahriman berkata, sepanjang 13 tahun dalam bidang perniagaan itu, dia juga tidak terkecuali berhadapan pelbagai cabaran namun bersyukur dikurniakan isteri yang sangat memberikan sokongan.
“Alhamdulillah, walaupun ramai beranggapan kami begitu ‘berani’ mengambil risiko tatkala keadaan ekonomi ketika ini, namun saya yakin perniagaan dengan menu utama ikan bawal ini ada penggemarnya tersendiri.
“Selagi ada permintaan kami akan berusaha memberikan yang terbaik demi memenuhi cita rasa pelanggan,” katanya. – Mingguan Malaysia

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya