Aiskrim madu sarang lebah buatan anak tempatan Langkawi - Utusan Malaysia

Aiskrim madu sarang lebah buatan anak tempatan Langkawi

Pasangan suami isteri, Muhamad Syakir Idris, dan Nur Fatihah Arun di hadapan kedai menjual aiskrim dan kopi, Honeybee LGK Cafe di Jalan Ulu Melaka, Ayer Hangat, Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA disebut pencuci mulut, pastinya terbayang deretan kek dan pastri yang disusun cantik bagi menggamit pembeli. Namun, berbeza dengan sebuah kafe di Langkawi, Kedah yang menawarkan aiskrim dibuat sendiri untuk dimakan bersama madu sarang lebah.
Honeybee LGK Cafe yang sebelum ini pernah tular kerana menjual aiskrim madu sarang lebah dengan motosikal semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kira-kira dua tahun lalu, akhirnya kini memiliki premis sendiri yang turut menyajikan pelbagai makanan dan kopi.
Walaupun aiskrim buatan sendiri ini hanya mempunyai satu perisa iaitu vanila, namun pencuci mulut itu ditawarkan dalam pelbagai bentuk sebagai pilihan kepada pelanggan yang ingin merasainya.
Antara yang menjadi pilihan adalah minuman ais kisar Honeybee atau Honeybee Frappe, yang mana aiskrim itu dihidangkan bersama bebola mutiara dan emping jagung yang dihias dengan potongan madu sarang lebah.
Di samping aiskrim, Honeybee LGK Cafe turut menyediakan menu kopi berbeza seperti kopi Honeybee iaitu kopi yang menggunakan madu sebagai pemanis dan kopi Mahsuri yang merupakan resipi ciptaan mereka sendiri.
Selain itu, pengunjung juga pastinya teruja melihat pilihan pastri, kek, wafel dan juga makanan ringan ala Barat dan Korea yang diolah bagi menepati cita rasa tempatan.
Keenakan pastri kroisan yang berintikan pandan, coklat dan dijadikan sandwic juga setanding dengan makanan itu yang dijual di kedai kopi berjenama lain dan lebih istimewa ia juga dihasilkan sendiri oleh Honeybee LGK Cafe.
Barisan kek keju perisa coklat, tiramisu dan buah-buahan juga sering ditukar-tukar bagi mengelak pengunjung bosan dengan pilihan yang ada, malah makanan itu ditempah khas untuk dijual di kafe tersebut.
Pelanggan juga mempunyai pilihan untuk menikmati makanan ringan seperti ayam goreng, pizza, pilihan pasta dan oden yang akan dimasak setiap kali pesanan dibuat.
Dalam pada itu, Muhamad Syakir Idris, 32, dan Nur Fatihah Arun, 28, yang memiliki Honeybee LGK Cafe berkata, pada mulanya aiskrim itu dibuat sendiri oleh abang Nur Fatihah dan dijual di sekitar Langkawi dengan motosikal yang diubahsuai untuk meletakkan tong aiskrim.
“Mungkin rezeki kami, sebab tidak lama selepas itu aiskrim tersebut tular dan abang ipar benarkan saya untuk menjual aiskrim itu di kawasan lain, tambahan pula ketika itu PKP dan saya diberi cuti tanpa gaji kerana bekerja dengan syarikat penerbangan.
“Selepas setahun berniaga dengan motosikal, kami bina kedai bagi memudahkan jualan di samping boleh mempelbagaikan menu,” kata Muhammad Syakir.
Nur Fatihah yang sebelum ini pernah mengusahakan kios makanan turut menggunakan resipinya sendiri dalam menu yang dijualnya seperti tepung ayam goreng.
Honeybee LGK Cafe terletak di Jalan Ulu Melaka, Ayer Hangat dan dibuka setiap hari dari pukul 12.30 tengah hari hingga 11 malam. – Mingguan Malaysia

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya