Nasi berlauk merupakan menu sarapan pagi yang cukup popular dalam kalangan rakyat di Kelantan malah setiap ceruk-ceruk kampung ada sahaja gerai-gerai atau kedai kopi menjualnya.
Bagaimanapun, seorang lelaki bertindak ‘melawan arus’ dengan menjual hidangan ‘eksotik’ seperti lidah lembu bakar, testis lembu goreng kunyit dan sup perut air asam seawal pukul 7.30 pagi di gerai Pok Die yang terletak di Batu 11, Ketereh.
Hal ini kerana kebiasaan hidangan itu merupakan menu pilihan makan tengah hari dan tindakan ‘berani mati’ Md. Rusmadi Mamat, 46, berjaya memikat hati rakyat Kelantan apabila mengubah selera waktu pagi dengan menikmati sepinggan nasi putih bersama lidah lembu bakar, testis lembu goreng kunyit bersama sup perut air asam.
“Biasanya waktu pagi, kita dapat lihat di semua kawasan orang berniaga nasi berlauk dan kerabu. Namun, saya mengambil risiko dengan menjual hidangan ini.
“Alhamdulillah, rezeki ‘tidak salah alamat’ dan saya tidak menang tangan apabila orang ramai berpusu-pusu singgah untuk menjamah hidangan ini,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Kota Bharu, baru-baru ini.
Md. Rusmadi atau Pok Die memberitahu, setiap hidangan itu dijual bermula dengan harga RM6 hingga RM10 untuk seorang makan.
Katanya, sup kaki dan kepala kambing serta ikan rebus turut menjadi hidangan unik yang dijual di gerainya itu.
“Selain itu, saya juga menjual sambal buah cupu atau mangga muda. Sambal ini ditumbuk bersama ikan rebus goreng dan sedikit cili.
“Bagaimanapun ia bergantung kepada bahan. Kalau buah cupu ada, baru saya sediakan. Namun jika pelanggan minta, saya akan berusaha untuk memenuhi permintaan itu,” terangnya.
Pok Die berkata, setiap hari dia akan menggunakan bahan mentah yang segar bagi memastikan keenakan rasa hidangan itu terus kekal sekaligus menepati cita rasa pelanggan.
Mengimbau semula perniagaannya itu, Pok Die berkata, dia bermula selepas berhenti bekerja sebagai tukang masak semasa serangan pandemik Covid-19 tiga tahun lalu.
Katanya, selepas Covid-19 reda dia mengambil keputusan berniaga hidangan tersebut dan ia kekal sehingga hari ini.
“Saya bekerja sebagai tukang masak di atas kapal selama 20 tahun dan sudah merantau lebih 20 negara. Namun disebabkan Covid-19, saya terpaksa lupakan semua itu,” ujarnya. – Mingguan Malaysia