Keputusan nekad seorang pramugari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menamatkan perkhidmatan awal demi menjaga bapanya yang sakit di kampung menjadi titik permulaan buatnya mengusahakan kedai makan yang menampilkan menu masakan tradisi Melayu.
Zamira Shahabudin, 40, berkata, dia menamatkan perkhidmatannya pada 2016 selepas 13 tahun berkhidmat namun hanya membuka kedai makan yang diberi nama Zamira Dapur Kayu itu sejak awal tahun lalu.
Keberaniannya membuka kedai makan itu selepas mendapat sokongan keluarga serta rakan-rakan media sosialnya selepas sering berkongsi resipi memasak pelbagai menu menggunakan dapur kayu.
“Saya hanya masak untuk dinikmati keluarga, memang daripada tiada pengikut (follower) kemudian sedikit demi sedikit dikenali. Saya kemudian turut hasilkan produk perasa sendiri yang menggunakan 13 jenis rempah.
“Resipi rempah ini diturunkan dari moyang sehingga kepada saya dan rempah inilah yang bawa tuah. Saya gunakannya untuk menggoreng ikan, ayam, dimasukkan dalam sup sayur dan tentunya bagi membuat rendang daging serta ayam yang menjadi menu utama.
“Kemudian ramai yang meminta saya membuka kedai makan. Ia hanya bermula dengan empat meja sahaja dengan dua pekerja bagi menampung belasan pelanggan dan kini Zamira Dapur Kayu mampu menampung kehadiran 300 pelanggan pada satu masa serta mempunyai hampir 30 pekerja,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di kedainya di Pekan Pedas, Rembau baru-baru ini.
Menurut Zamira, lebih menarik, kedai makan itu diusahakannya di rumah pusaka milik keluarganya dan menampilkan konsep berjamba (menu dihidang dalam dulang).
“Kebiasaannya pada hari biasa kami akan menawarkan 13 hingga 15 menu namun ia akan mencecah sehingga 25 menu pada hari cuti umum dan hujung minggu.
“Antara menu yang ditawarkan gulai siput sedut, gulai telur itik, tilapia goreng, pucuk ubi tempoyak, dan rendang ayam maman.
“Pelanggan juga boleh menikmati hidangan secara set jamba dulang dengan lima menu antaranya rendang daging, ayam goreng dan daging salai,” katanya lagi.
Jelasnya lagi, dia kini mempunyai lapan dapur kayu bagi menyediakan kesemua hidangan termasuk dodol.
“Kesemua hidangan dimasak cara lama, saya tidak ubah resepinya. Guna dapur kayu selama tiga hingga empat jam sehingga betul-betul kering. Saya tidak pakai kerisik dan warna hitam disebabkan rempah istimewa yang digunakan,” katanya.
Menurut Zamira, pelanggan boleh memilih untuk makan di rumah pusaka yang berusia hampir 100 tahun itu ataupun menikmati makanan di tepi sungai yang dijaga dengan bersih.
“Makan, santai dan menikmati, itu tagline kami, sambil makan boleh menikmati kawasan sekitar, boleh tengok kampung, duduk makan di rumah macam kenduri dulu-dulu, duduk di tepi sungai dan duduk di rumah Melayu lama.
“ Kedai buka pukul 12 tengah hari sehingga lauk habis. Bagaimanapun, pelanggan biasanya sudah datang seawal pukul 10.30 pagi bagi mengambil nombor,” katanya lagi. – Mingguan Malaysia
Zamira Dapur Kayu, air tangan bekas pramugari TUDM
- Oleh NOR AINNA HAMZAH
- 1 Oktober 2023, 1:05 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am