Pernah makan Nasi Lemak Kambing Mengamuk? - Utusan Malaysia

Pernah makan Nasi Lemak Kambing Mengamuk?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA sangka dalam kawasan perumahan kita masih boleh berkhemah. Ditambah pula sambil berkhemah, makan nasi lemak. Lebih menarik apabila nasi lemak tersebut dihidangkan dengan kambing bakar perapan.
Gabungan kemanisan dari kambing bakar dengan perapan istimewa dan kepedasan sambal nasi lemak menambahkan selera pengunjung Nasi Lemak Kambing Mengamuk yang terletak di perumahan Sungai Isap Damai, di Kuantan, Pahang ini.
Pemilik, Muhamad Shafiq Haikhal Md. Sharif, 27, berkata, gerai Nasi Lemak Kambing Mengamuk itu baru sahaja beroperasi sejak sekitar dua bulan lalu.
Katanya, dia yang sebelum ini bekerja di Johor memilih membeli rumah di situ dan membuka gerai makan.
“Pada mulanya saya fikir nak cari kerja dekat Kuantan, tapi bila difikirkan semula, saya ambil keputusan berniaga. Saya fikir hendak berniaga nasi lemak tapi memandangkan nasi lemak sudah biasa, saya fikir nak buat sedikit kelainan dengan menambah kambing bakar.
“Saya pilih kambing bakar kerana saya gemar kambing. Ada juga peniaga lain yang buat nasi lemak kambing, tapi nasi lemak kambing saya jual lain rasanya kerana perapan istimewa yang kami buat sendiri,” katanya.

KENAPA KAMBING MENGAMUK?
Bercerita tentang pemilihan nama kedainya itu, Shafiq memberitahu, dia memilih nama Nasi Lemak Kambing Mengamuk kerana mahu menarik perhatian pelanggan.
“Saya perlu cari satu nama yang unik dan akhirnya saya memilih nama Nasi Lemak Kambing Mengamuk. Ternyata pilihan nama itu tepat kerana ramai yang singgah berikutan tertarik dengan perkataan ‘mengamuk’ itu,” katanya.
Dia memberitahu, dia mengusahakan gerai itu bersama isteri, Nurul Liyana Shahrim, 26, dan keluarganya.
Selain menu nasi lemak kambing, gerainya turut menyediakan nasi lemak biasa, nasi lemak telur dan nasi lemak ayam selain merangka untuk menambah menu baharu iaitu nasi lemak sotong dan udang bakar.

“Selain itu, kita juga ada mi goreng kambing.Jadi, jika tidak mahu makan nasi lemak, boleh makan mi.
“Harga menu yang kami sediakan bermula dari RM2.50 sehingga RM15. Dengan harga ini, kami harap sedikit sebanyak ia dapat memberi peluang kepada orang yang kurang berkemampuan untuk menikmati hidangan di kedai pada harga berpatutan,” ujarnya.

KONSEP KHEMAH
Bercerita tentang konsep berkhemah yang diketengahkan katanya, dia memikirkan konsep tersebut setelah melihat suasana di hadapan rumahnya yang berpokok-pokok seakan berada di dalam hutan.
“Dari situ saya nampak sesuai menggunakan saya mengetengahkan konsep perkhemahan. Saya lihat konsep ini menarik minat pelanggan untuk datang bersantai di sini terutamanya golongan muda,” katanya.
Shafiq dalam pada itu, melahirkan rasa syukur berikutan perniagaannya itu turut mendapat kebenaran dan sokongan daripada jiran tetangga.
“Memang syukur dapat jiran yang baik yang memberikan kebenaran untuk saya membuka gerai makan di depan rumah.
“Saya juga mendapatkan kebenaran dari pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan mematuhi setiap syarat dikenakan seperti mengemas barang selepas berniaga dan memastikan kawasan sentiasa bersih,” katanya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya