MELANGKAH masuk ke Zahon Cafe, pasti pengunjung tertanya-tanya adakah ia sebuah kedai buku atau perpustakaan kerana hiasan dekorasinya dipenuhi koleksi ribuan bahan bacaan pelbagai genre.
Itu keistimewaan ditampilkan pemilik kafe itu, Nor Fatihah Che Mamad, 30, kerana mahukan sesuatu yang unik untuk dijadikan pengalaman manis kepada semua pengunjung kafe itu.
Difahamkan, ini adalah kafe pertama yang menawarkan pelbagai menu hidangan Jepun dengan menampilkan konsep dekorasi perpustakaan atau kedai buku di Terengganu.
Nor Fatihah ketika ditemui di kafe itu di Jalan Sungai Rengas, Kuala Terengganu, baru-baru ini, mengakui kelainan itu adalah untuk memecah pasaran di Terengganu memandangkan kedai makan yang menawarkan hidangan Korea dan Barat sudah terlalu banyak.
Menurutnya, semua menu yang ada di kafe itu adalah resipi asli masakan masyarakat Jepun yang dipelajari daripada kakak iparnya, warga Negara Matahari Terbit itu.“Saya berkesempatan tinggal dengan kakak ipar selama beberapa tahun di Kuala Lumpur dan sepanjang tempoh itu saya mempelajari pelbagai resipi masakan mereka.
“Selepas berjaya menghasilkan rasa yang sempurna, barulah saya yakin untuk membuka kafe ini di kampung halaman iaitu Kuala Terengganu,” katanya.
Dia yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti of Queensland, Australia memang lahir daripada keluarga yang berkecimpung dengan perniagaan makanan.
Anak kedua daripada enam beradik itu juga bersyukur kerana pertaruhannya membuka kafe makanan Jepun mendapat sambutan memberangsangkan setakat ini.
“Antara yang sering ditanya pelanggan, siapakah pemilik kafe ini dan adakah makanan yang dihidangkan halal? Setelah pekerja memberi penerangan kedai ini milik Muslim dan menawarkan sajian halal, barulah pelanggan yakin dan berkongsi pengalaman menjamu selera di sini dengan orang lain.
“Promosi ikhlas mulut ke mulut selain media sosial yang dilakukan pelanggan seperti Facebook, Instagram, Tik Tok dan Twitter turut membantu mempopularkan lagi Zahon Cafe ini,” ceritanya yang memiliki 10 pekerja anak tempatan.
Antara hidangan yang menjadi pilihan pelanggan adalah Shoyu Ramen, Chicken Katsu Rice, Tobiko Mushroom pasta, Chicken Teriyakidon, Salmon Mentaikodon dan Teba Shio. Semua menu tersebut ditawarkan pada harga mampu milik iaitu RM11.90 hingga RM27.90.
Lebih istimewa, Nor Fatihah berkata, dia turut menawarkan khidmat menyewa baju kimono kepada pelanggan yang berminat mengabadikan kenangan foto dan video ketika berada di Zahon Cafe.
Menurutnya, kadar sewa hanya RM5 dan pelanggan boleh mengenakan busana itu sepanjang berada di kafe tersebut.
“Bagi kanak-kanak pula, mereka boleh bermain pelbagai mainan yang menguji kreativiti atau membaca pelbagai komik. Ibu bapa pula boleh menjamu selera dengan selesa tanpa risaukan keselamatan anak-anak. Kami cuba menyediakan suasana selamat dan ceria agar pelanggan sentiasa selesa di sini,” katanya.
Bagi peminat kopi dan dessert pula, Zahon Cafe turut menawarkan pelbagai pilihan seperti Tiramisu Cakebox (Zahon’s signature cake), Strawberry Fresh Cream Cakebox, Chocolate Mochi Cakebox, Taiyaki (sejenis waffle Jepun berbentuk ikan), Mini Burnt Cheesecake, Japanese Caramel Puddings dan beberapa jenis pastri.
Untuk menarik penglibatan komuniti pula, Nor Fatihah berkata, Zahon Cafe mengalu-alukan pihak yang sudi menyumbang pelbagai koleksi bacaan dan setiap sumbangan akan menerima hidangan istimewa percuma.
“Hasrat saya mahu lebih ramai masyarakat Terengganu yang akan mengamalkan budaya membaca tanpa mengira masa dan lokasi kerana ia antara budaya Jepun yang positif untuk kita contohi,” katanya. – Mingguan Malaysia
Nikmati hidangan Jepun sambil baca buku
- Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
- 15 Oktober 2023, 1:03 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am