MENJEJAKKAN kaki di pekarangan Kafe O Kampung di pinggir bandar raya Alor Setar, Kedah seakan-akan mengembalikan nostalgia. Sangat mengimbau kenangan terutama bagi mereka yang pernah merasai hidup di zaman memasak menggunakan dapur kayu api.
Tidak kurang nuansa klasiknya apabila lagu-lagu lama berkumandang di pelosok kafe berkenaan ketika menyambut pelanggan yang berkunjung.
Demikian Kafe O Kampung di Jalan Hutan Kampung, Alor Setar itu lebih istimewa kerana minuman kopinya yang dimasak menggunakan dapur kayu api.
Cerek hitam legam, sekali pandang ala-ala koboi drama, The High Chaparral menjadi signature kafe ini sekaligus memberi keunikan tersendiri. Namun tunggu sehingga anda menghirup secangkir kopi daripada cerek hitam legam ini, aromanya yang berasap itu sesuatu yang tidak mampu anda temukan di mana-mana kedai kopi lain.
Walaupun baru setahun beroperasi, kafe milik pengusaha syarikat periklanan dan percetakan, Ruslin Long, 68, sudah mendapat tempat di hati penggemar kopi yang wujud di muka bumi ini sejak berabad lamanya.
Kopi O Kampung dibuka dari pukul 8 pagi hingga 1 petang untuk orang ramai bersarapan mahupun sekadar melepak atau ‘ngopi’ bersama kawan-kawan.
Paling istimewa kopi o ramuan rahsia daripada pemilik kafe ini akan dihidangkan dalam cawan klasik bersama dengan tiga keping biskut atau ‘roti empat segi’ panggilan orang Kedah.
Entah kenapa menu ini paling digemari oleh pelanggan kafe tersebut barangkali kerana setiap hirupan dan cicahan biskut itu dapat mengembalikan nostalgia.
Sebagai menu sarapan, Kopi O Kampung turut menyediakan pelbagai juadah lain termasuk roti bakar, ubi rebus, nasi lemak dan pelbagai kuih muih.
Roti bakar yang menggunakan roti benggali ini juga dibakar menggunakan dapur kayu api serta disapu dengan planta dan sekaya buatan sendiri oleh Ruslin.
Sementara ubi kayu rebus pula akan dihidangkan bersama kelapa parut atau sambal ikan bilis, iaitu hidangan orang dulu-dulu yang sangat enak dijamah waktu pagi.
Menurut Ruslin yang juga penggemar aktiviti mendaki gunung, beliau terinspirasi daripada suasana membuat kopi menggunakan unggun api ketika menjalankan aktiviti tersebut.
“Cerek hitam ini saya tempah khas. Bila ‘jerang’ didih) air kopi guna dapur kayu api ini rasanya lain sikit. Selain itu biji kopi yang saya gunakan guna tulen kerana tiada campuran bahan lain,” katanya ketika ditemui di kafe tersebut baru-baru ini.
Menurut Ruslin, setiap hari dia mampu menjual dari 200 hingga 300 cawan kopi o itu yang dipertaruhkan dengan dekorasi klasik pelbagai jenis barangan antik dan lama daripada koleksi peribadi beliau bagi menambah keunikan premis tersebut.
Kata Ruslin, pelanggannya datang daripada pelbagai latar belakang dan usia termasuk yang dalam perjalanan ke tempat kerja di pusat bandar tidak melepaskan peluang singgah untuk sarapan terlebih dahulu di situ.
“Setakat ini saya menerima maklum balas yang cukup baik. Pelanggan memberitahu mereka suka ke sini kerana keunikan rasa dan aroma kopi o itu selain suasana kafe yang klasik,” ceritanya. – Mingguan Malaysia
Minum kopi sambil bernostalgia
- Oleh JAMLIAH ABDULLAH
- 10 September 2023, 10:21 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am