Cendol Maklom tarikan pengunjung di Sungai Dua - Utusan Malaysia

Cendol Maklom tarikan pengunjung di Sungai Dua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hidangan cendol sudah menjadi kelaziman bagi masyarakat setempat Pulau Pinang tanpa mengira latar belakang kaum.
Malah, jika di bahagian pulau, sebut sahaja Penang Road Famous Teochew Chendul dekat George Town, sudah pasti lokasi itu duduk di senarai teratas bagi pengunjung untuk merasai keaslian cendol yang berperasi sejak lebih 80 tahun itu.
Namun, jika di bahagian Seberang Perai pula, Cendol Maklom dekat Sungai Dua, adalah antara lokasi tarikan pengunjung kerana cendol asli yang dibuat sendiri.Pengusaha Cendol Maklom, Mohamad Syafiq Azizan, 29, berkata, minatnya yang mendalam dalam perniagaan dipupuk sejak kecil lagi lantaran sering mengikuti bapanya, Allahyarham Azizan Zakaria, 61, yang mengusahakan perniagaan itu sejak 1996 di situ.

“Tak jauh bezanya cendol kami daripada pesaing kerana bahan asas digunakan sama iaitu kacang merah, jagung buah enau dan kacang tanah.

“Cuma cendol kami dibuat daripada santan segar dan tidak dicampur dengan air. la menjadikan cendol lebih manis berlemak,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Jelas graduan Diploma Teknologi Maklumat (Pengaturcaraan) Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak itu, setiap hari rutin hariannya akan dimulakan dengan menyediakan ramuan membuat cendol seperti memasak cendol dan membeli santan segar daripada pembekal tempatan.
“Kerja memasak cendol akan dilakukan bersama ibu, Ramlah Ahmad bermula pukul 7 pagi. Resipi asal adalah daripada arwah bapa dan kami hanya gunakan santan segar,” katanya.
Baginya, perniagaan itu lebih banyak memberikan kelebihan berbanding bekerja di pejabat walaupun lebih selesa dan terhindar dari panas terik mentari.
“Saya percaya dan berpegang pada hadis bahawa sembilan daripada 10 punca rezeki datangnya daripada berniaga.
“Malah, tidak timbul rasa kesal sebaliknya, saya lebih seronok menjual cendol kerana mempunyai masa lebih fleksibel, senang nak atur waktu bekerja sendiri selain dapat membantu keluarga menjana pendapatan,” katanya lagi.
Katanya, pendapatan yang diperoleh dalam sebulan dianggarkan mencecah RM5,000.
“Dalam sehari kira-kira 60 hingga 70 bongkah ais habis. Sambutan pelanggan pula bagus,” katanya.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, buat masa ini gerai Cendol Maklom sudah mempunyai dua cawangan termasuk yang terletak di Bukit Berangan dekat Bukit Mertajam.
“Saya bercadang mahu luaskan perniagaan keluarga ini, namun buat masa sekarang saya ingin fokus kepada dua cawangan ini dahulu,” katanya yang mempunyai tujuh pekerja.
Ditanya mengenal stigma masyarakat mengenai kerjayanya itu memandangkan dia graduan teknologi maklumat, Mohamad Syafiq berkata, setakat ini rata-rata keluarga, rakan-rakan termasuk pelanggan amat menyokongnya selain banyak memberi maklum balas untuk memperbaiki kelazatan dan layanan di gerai itu.
Selain menawarkan cendol biasa dan cendol spesial yang dijual masing-masing pada harga RM3.50 dan RM4 semangkuk, Cendol Maklom turut menawarkan ais kacang dan ais jagung masing-masing berharga RM4 dan RM3.50 semangkuk. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya