KALAU mahu cerita pasal menu ayam gepuk mungkin tiada apa yang istimewa kerana boleh didapati hampir di mana-mana sahaja.
Bagaimanapun, ayam gepuk di sebuah restoran yang terletak di Ipoh, Perak ini mempunyai rasa istimewa dengan gabungan bahan perencah tersendiri.
Ada sebab mengapa menu di Ganteng Cafe ini tidak sama sebagaimana menu ayam gepuk di tempat lain.
Pertama, sudah semestinya sambalnya yang mempunyai sedikit kelainan. Ini kerana sambal yang dihidangkan ini merupakan sambal cili merah yang dicampurkan dan dimasak sekali bersama kacang serta mempunyai rasa yang tidak terlalu pedas, sesuai mengikut cita rasa orang Malaysia.
Selain itu, menu gomad ayam gepuk ganteng yang berharga RM14.90 ini turut dihidangkan dengan cendawan enoki yang digoreng rangup serta mempunyai rasa sedikit pedas.
Apa yang menarik, hidangan ini turut didatangkan khas bersama sup bebola daging. Untuk mereka yang mahukan kelainan pula boleh memesan nasi goreng ayam gepuk ganteng berharga RM16.90.
Hanya jenis nasi yang berbeza, namun rasa sambal dan ayam goreng rangup masih sama dan sememangnya tidak boleh disangkal.
Untuk mereka yang mahukan lauk tambahan untuk dimakan bersama ayam gepuk boleh memesan daging berlado.
Rasa sambalnya sedikit pedas. Namun pengunjung boleh menukar tahap kepedasan menu ini mengikut kemampuan sendiri. Harga untuk menu ini adalah RM13.90.
Mungkin pengunjung boleh memesan cendawan crispy yang berharga RM6 untuk dijadikan menu sampingan atau hidangan ringan sambil melepak bersama kawan-kawan.
Sekiranya ada yang mahukan pencuci mulut, restoran ini mempunyai menu sagu gula Melaka yang tidak terlalu manis sebagai penutup hidangan. Harganya hanyalah RM4.
Selain menu yang dinyatakan tadi, restoran ini turut mempunyai pelbagai jenis hidangan lain termasuk masakan ala Barat yang terdiri daripada lamb chop, chicken chop dan pasta.
Aneka jenis minuman juga terdapat di sini seperti lemon soda citrus dan hazelnut coffee untuk mereka yang mahu sekadar ‘kopi-kopi’ di sini.
Dalam pada itu, menurut pemilik restoran, Muhammad Syairazmin Azril Alias, sambal di restoran ini merupakan resipi neneknya yang berasal dari Jawa, Indonesia.
“Kalau sambal ayam gepuk biasanya tidak goreng. Tetapi resipi nenek saya ini dicampur semua bahan termasuk kacang. Jadi, sambal ini akan capai cita rasa sendiri.
“Lagipun cili ini kita goreng. Di Indonesia mereka tidak goreng. Terus gelek dan bubuh minyak panas. Tapi sambal ini kemudian disesuaikan mengikut cita rasa orang Melayu dengan tidak terlalu pedas. Ada rasa manis-manis sedikit,” katanya.
Restoran Ganteng Cafe yang terletak di No 95 dan 97, Jalan Sultan Iskandar, Taman Jubilee, Ipoh, Perak dibuka setiap Jumaat dari pukul 12 tengah hari sehingga 10 malam. – Mingguan Malaysia
Ayam Gepuk Ganteng Cafe wajib cuba di Ipoh
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
- 24 September 2023, 1:05 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am