DI SEBALIK suasana kampung yang mendamaikan dengan dikelilingi sawah padi, siapa sangka terdapat warung unik di dalam sebuah pekarangan rumah tradisional berusia lebih 50 tahun berhampiran Jalan Kubang Gajah, Arau yang menghidangkan sajian sarapan klasik atau tradisional buat pengunjung.
Warung Teratak Bonda yang beroperasi sejak tahun 2020 itu bukan sahaja menampilkan kelainan dalam sajian sarapan, malah turut menerapkan elemen suasana kampung di premis perniagaan mereka.
Tatkala melangkah masuk ke warung ini, pengunjung pastinya terpukau dengan keindahan suasana rumah kampung lama bersama landskap indah di situ.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, pengusaha Warung Teratak Bonda, Abd. Rahman Zabidi, 64, berkata, terdapat pelbagai sajian klasik menarik disediakan antaranya pek nga gulai ikan kembung, pulut ikan kering, ubi kayu rebus, roti puri dan nasi lemak.
“Kami cuba memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung bagi menikmati sajian sarapan klasik ini yang pastinya dapat membawa mereka mengimbau kembali nostalgia lama,” katanya.
Menceritakan lebih lanjut, Abd. Rahman berkata, setiap hari, warung itu akan menyediakan hidangan istimewa berbeza bagi memberikan lebih pilihan.
Katanya, harga setiap juadah juga adalah amat berpatutan bermula dari serendah RM3 sehingga RM6.
“Juadah yang agak laris adalah pek nga gulai ikan kembung dan ubi kayu rebus,” katanya.
Dalam pada itu, bapa kepada tiga anak ini memaklumkan rumah yang didiaminya di warung itu adalah peninggalan pusaka bapa mertuanya dan berusia lebih 50 tahun.
Katanya, dia membawa balik kelengkapan kayu-kayan rumah pusaka tersebut dari Kampung Kuala Sungai, Alor Setar dan membinanya semula di warung itu bagi memberi kelainan suasana.
“Memang sejak awal memulakan operasi kami merancang membawa balik rumah pusaka ini ke sini bagi membangkitkan lagi suasana kampung di sini,” jelasnya.
Sementara itu, isteri Abd Rahman, Kalsom Shaari, 60, berkata, dia bersama anak bongsunya, Nur Ashikin Abd. Rahman, 29, akan memasak sendiri hidangan pada setiap hari dengan resipi mereka sendiri.
Dia menggunakan pengalaman mengusahakan perniagaan katering sebelum ini bagi menyediakan sajian yang terbaik.
“Alhamdulillah setakat ini pengunjung berpuas hati malah ada yang juga datang berulang kali ke sini,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Ashikin pula berkata, konsep warung itu adalah cetusan ideanya sendiri sewaktu awal memulakan perniagaan.
Terangnya, dia memilih untuk membuka warung bersama ibu dan ayahnya selepas beberapa permohonan kerjanya sebelum ini tidak mendapat maklum balas positif.
“Dari situlah kami mula mendapat cetusan idea kerana saya ingin memberikan pelanggan peluang untuk menikmati juadah klasik suatu masa dahulu,” katanya.
Warung itu beroperasi pada setiap hari kecuali Jumaat bermula pada pukul 7 pagi sehingga 12 tengah hari. – Mingguan Malaysia
Warung Teratak Bonda saji hidangan sarapan klasik
- Oleh ASYRAF MUHAMMAD
- 27 Ogos 2023, 1:03 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am