SIAPA yang tidak terliur kalau bercakap pasal char kuetiau. Menu yang cukup sinonim dengan masyarakat Cina kini sudah mendapat tempat dalam kalangan orang Melayu.
Setiap restorancuba mengetengahkan kelainan menu char kuetiau masing-masing. Ada yang cuba menampilkan kelainan dengan meletakkan pelbagai bahan lain.
Tidak terkecuali di Coffee Cartel. Menu sang har char kuetiau di sini memang betul-betul berbeza dengan menampilkan keistimewaan sendiri. Manakan tidak, hidangan ini diletakkan bersama udang galah bersaiz besar yang hampir menutupi keseluruhan kuetiau itu.
Paling menarik, kekuatan menu bukan sekadar terletak pada udang galah, sebaliknya kuetiau itu sendiri yang tidak terlalu lembab dan tidak terlalu berminyak.
Malah ia digoreng sempurna ala masakan Cina dan tidak terlalu pedas atau masin. Harga yang ditawarkan juga berpatutan dengan udang galah yang diletakkan bersama iaitu RM38.90.
Di samping kuetiau, nasi ayam juga menjadi hidangan wajib dicuba apabila berkunjung ke kafe ini terutama untuk mereka yang gemarkan menu ini.
Ada dua sebab mengapa saya katakan begitu. Pertama, rasa kelembutan ayamnya yang digoreng rangup serta diletakkan bersama bahan rempah tertentu.
Kedua, rasa sos dan kicapnya yang tidak terlalu pedas atau masin memberikan kombinasi terbaik, apatah lagi sekiranya dimakan ketika masih panas lagi. Malah nasinya juga menggunakan beras basmathi.
Selain menu ini, untuk pengunjung yang mahu menikmati masakan Barat boleh mencuba salmon steak pasta yang menjadi pilihan di sini.
Bukan sahaja nampak menarik, rasa menu ini juga begitu sedap dan berpatutan serta saiz hidangan yang agak besar terutama ikan salmon. Hanya RM34.90 sudah cukup untuk menikmatinya dengan puas.
Untuk mereka yang mahukan menu ringan sambil bersantai bersama rakan-rakan pula, ada baiknya memesan keropok lekor atau cucur ikan bilis dengan harga masing-masing RM12.90 serta RM15.90 untuk setiap set.
Malah, seandainya datang ke Coffee Cartel, pengunjung juga perlu mencuba pelbagai minuman terutama berasaskan kopi. Nama-nama seperti cuppacatel, the don dan santos sesuatu yang perlu dirasa kalau anda betul-betul pencinta kopi.
Tidak perlu saya ulaskan bagaimana keenakannya, kerana hanya lidah sahaja yang boleh menceritakan tentang rasanya.
Begitu juga dengan coke float dengan rasa yang seakan-akan vanilla coke.
Dalam pada itu, Pengurus Operasi Bersama, Ali Rafique Ahmad Suhaimi dan Shaik Sharisman Shaik Kamal Farid berkata, semua bahan yang digunakan di sini berkualiti tinggi serta bertaraf premium.
“Semua bahan segar dan berkualiti tinggi. Kita mahu memastikan pengunjung berpuas hati dan bukan hanya datang sekali sahaja.
“Paling penting cafe ini juga mempunyai surau dan turut membuka tempahan untuk sebarang majlis persendirian,” katanya.
Coffee Cartel yang terletak di No. 12 Ground Floor, Jalan Tun Mohd. Fuad 2, Taman Tun Dr. Ismail Kuala Lumpur dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi sehingga 11 malam. – MINGGUAN MALAYSIA
Kelainan hidangan, lepak santai di Coffee Cartel
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
- 13 Ogos 2023, 1:31 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am