MELIHAT kepada saiz udang galah yang besar dan hampir memenuhi mangkuk sudah cukup membuka selera sesiapa sahaja. Apatah lagi dimakan bersama laksa Sarawak yang mempunyai gabungan rasa lemak, pedas dan berempah seakan-akan kari, sudah semestinya memberikan kelainan berbanding laksa lain.
Ditambah pula dengan rasa manis udang galah segar dengan isinya yang padat dan lembut semestinya menjadi tarikan bagi pengunjung ke restoran Kedey Kamek untuk menikmati salah satu hidangan tradisi Sarawak ini.
Bukan itu sahaja, gabungan bahan lain seperti isi ayam yang dicarik dan tauge menjadikan hidangan ini sempurna untuk mereka yang sememangnya menggemari laksa Sarawak.
Apatah lagi saiz hidangannya yang agak besar sudah cukup memberi kepuasan kepada mereka yang datang ke restoran ini.
Selain menu ini, pengunjung juga boleh mencuba beberapa makanan tradisi Sarawak yang agak sinonim antaranya ayam pansuh, pok mee, linut, mee jawa dan mee kolok.
Menu ayam pansuh atau turut dikenali sebagai manuk pansuh ini dihidangkan bersama nasi dan dimakan bersama sambal belacan Sarawak.
Ayamnya pula dimasak dengan daun ubi dan dimakan bersama tempe dan tomato.
Percayalah, semua gabungan tadi yang dimakan bersama sambal belacan sudah cukup membuatkan pengunjung seakan-akan berada di bumi Sarawak.
Malah, tidak perlu pun ke Bumi Kenyalang semata-mata mahu menikmati keaslian makanan tradisi masyarakat di sana.
Selain itu, linut yang merupakan sejenis makanan tradisional bagi masyarakat tempatan di Sarawak dan menjadi sajian utama selepas nasi turut terdapat di sini.
Hidangan yang diperbuat daripada pokok Rumbia dan dikenali ambuyat sebenarnya amat mudah untuk disediakan. Hanya memerlukan tepung sagu dan air panas.
Strukturnya yang kenyal dan likat dengan rasanya yang tawar kalau dimakan begitu sahaja. Di Kedey Kamek, ia dimakan bersama ikan terubuk masin goreng dan sambal belacan bagi memastikan ia mengikut cita rasa masyarakat Sarawak.
Dalam pada pada itu, pemilik restoran, Amin Aznizan berkata, segala masakan di restoran ini menggunakan resipi khas nenek dan ahli keluarganya yang lain.
“Saya menggabungkan semua resipi yang sememangnya menjadi hidangan kami semasa makan bersama di rumah apabila berkumpul.
“Apa yang kami makan di rumah sama ada daripada segi rasa atau jenis makanannya, itulah yang dibawa ke Kedey Kamek,” terangnya.
Restoran yang terletak di Sunway Putra Mall ini dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam. – Mingguan Malaysia
Keaslian, keunikan masakan Sarawak di Kedey Kamek
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
- 6 Ogos 2023, 1:38 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am