Jogoya ‘lambakan’ makanan Jepun - Utusan Malaysia

Jogoya ‘lambakan’ makanan Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IBARAT lambakan makanan Jepun. Itu gambaran yang boleh diberikan terhadap restoran Jogoya yang terletak di ibu negara. Bayangkan terdapat lebih 300 jenis makanan terutama menu Jepun dihidangkan secara bufet dan boleh dinikmati tanpa had di sini.
Bukan itu sahaja, menu dan segala bahan yang dihidangkan hampir semuanya premium dan kebanyakan didatangkan khas dari negara matahari terbit itu.
Jadi, sudah semestinya ada pelbagai makanan yang wajib dicuba di sini antaranya abalone masak mala.
Menu ini mempunyai keunikan tersendiri dan ia sudah ‘lari’ sebagaimana tipikal makanan Jepun yang lain seperti onigiri, sushi atau mazesoba.
Ini kerana hidangan ini mempunyai rasa seakan-akan makanan Melayu dengan dimasak bersama sos mala. Menu ini rasanya sedikit pedas, namun masih boleh dimakan sesiapa sahaja.

Salad ketam

Selain itu, menu salad ketam juga wajib dicuba sebagai pembuka selera. Apa yang menarik, menu yang turut dicampurkan dengan telur ikan serta mayonis ini mempunyai rasa manis tersendiri.
Bukan itu sahaja, pengunjung juga perlu mencuba lamb shank yang direneh dengan sos perang. Kelembutan tulang kaki dan daging kambing menu ini tidak dapat disangkal dengan mempunyai keenakan rasa campuran sos khas yang dimasak bersama.

Sate ayam istimewa
Bukan itu sahaja, turut terdapat di sini antaranya sate ayam bersama serai yang dijadikan pengganti kepada lidi sebagaimana menjadi kelaziman.
Rupa bentuknya juga berlainan dan seakan-akan sata yang menjadi makanan tradisional di Terengganu. Malah, rasanya juga hampir sama dengan sata.
Terlalu banyak sebenarnya menu menarik di restoran ini untuk diceritakan satu persatu kerana ada pelbagai lagi makanan lain seperti dim sum, teppanyaki, steamboat, kek serta aiskrim Haagen-Dazs yang wajib dicuba di sini.
Tidak ketinggalan air kelapa segar yang turut disediakan kepada pengunjung dan boleh diminum selagi mana termampu.
Menurut Ketua Cef Sixtus Bakansing berkata, selain makanan Jepun, restoran ini turut menyediakan makanan barat, barbeku, masakan Cina dan pastri.
“Setiap seksyen ada menu yang wajib dicuba. Namun, kebanyakan pengunjung yang datang ke sini akan lebih tertumpu pada makanan Jepun.
“Mereka mahu menikmati sashimi dan tiram segar dari Jepun. Lagipun ini satu-satunya restoran yang sediakan makanan seperti ini dan rasa berbaloi apabila makan di sini,” ujarnya.
Restoran yang terletak di LG05, kompleks beli belah The Starhill, Jalan Bukit Bintang di ibu negara ini dibuka setiap hari dan untuk tempah makan tengah hari bermula pukul 12 sehingga 4 petang, manakala untuk makan malam pula dibuka dari pukul 7 malam sehingga 10.30 malam.
Harga untuk bufet di sini bermula dari RM135++ sehingga RM165++ bergantung kepada hari dan waktu. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya