Batu Laut Route FT 005 KM 377 saji hidangan viral - Utusan Malaysia

Batu Laut Route FT 005 KM 377 saji hidangan viral

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IMPIAN pemburu makanan viral sudah pasti ingin menjamu selera pelbagai jenis makanan dan minuman lazat yang dipaparkan di media sosial. Apa yang lebih menarik dan menggamit selera jika destinasi yang dituju menghimpunkan kebanyakan makanan dan minuman berkenaan.
Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, kini terdapat lokasi sedemikian yang menjadi tumpuan ramai iaitu di 12 gerai makan di Medan Selera Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Pantai Batu Laut Kuala Langat, Selangor
Medan selera itu cukup sinonim dengan gelaran jolokan G4 Pit Stop Route FT 005 KM 377 yang kini menjadi tempat tumpuan kumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi duduk melepaskan lelah dan mengadakan perkhemahan di kawasan pantai berhampiran.
Menurut Ketua Komuniti dan pemilik gerai Waklie Empire di medan selera itu, Azli Mohd.Rashid, 55, yang mesra dipanggil Waklie, lokasi tersebut diwujudkan dengan tema pusat sehenti untuk makanan dan minuman yang pernah tular di media sosial.
“Di sini kita mempunyai banyak menu makanan dan minuman yang menjadi popular disebabkan kuasa viral di laman media sosial seperti TikTok, Instagram, Facebook dan di blog-blog pelancongan.

“Di gerai saya contohnya, kita ada menu makanan seperti mi udang galah, nasi goreng udang galah, tom yam udang galah, nasi goreng batu dan sajian ikan bolu yang popular di Sabah.
“Udang galah yang kita sajikan saya beli sendiri di Thailand bagi memastikan kualiti udang yang kita masak terpelihara. Terutama untuk sajian mi udang galah yang menjadi makanan terlaris di gerai saya,” katanya baru-baru ini.
Azli berkata, Mi Udang Galah yang berharga RM18 semangkuk itu adalah harga ‘mampu makan’ dan pelanggan berpuas hati dengan rasa dan harga berpatutan itu.
Ceritanya lagi, medan selera itu turut terkenal dengan keenakan rojak paru dan kelazatan air Lai Chee Kang Jumbo yang dijual di gerai milik Chef Hamzah.
“Selain itu, di sini juga terdapat makanan Chinese Muslim seperti masakan berasaskan pepahat untuk peminat makanan yang ingin merasa masakan istimewa itu.
“Pepahat adalah hidupan laut yang terkenal membiak di sepanjang pantai di sini terutama di Pantai Kelanang. Selain pepahat terdapat makanan Cina lain seperti mi wantan,” terangnya.
Apa yang lebih membanggakan, medan selera tersebut telah diiktiraf sebagai johan Gerai Bersih Sihat dan Selamat peringkat negeri pada tahun lepas dan turut mengungguli Kategori A (untuk medan selera) di peringkat kebangsaan.
Sementara itu, seorang peniaga di medan selera di sini, Zahid Mat Thani, 33, memberitahu, gerainya menjual minuman viral seperti Air Biscof Coconut Shake, Oreo Coconut Shake, Mango Shake dan Kelapa Lemon Mint yang boleh dinikmati bersama pelbagai menu makanan.
“Kita menjual 100 jenis air berlainan untuk bertukar selera dan rasa.
“Air dalam gelas besar yang kita gunakan sudah pasti mampu menghilangkan dahaga pelanggan setelah mereka melalui perjalanan jauh dalam cuaca panas kebelakangan ini,” katanya.
Selain minuman viral pelbagai rasa itu, bagi penggemar kopi pula mereka boleh menghirup minuman tersebut di gerai kopi, SR Coffee yang menyajikan pelbagai perisa kopi seperti Cappuccino, Latte dan lain-lain.
Pelbagai hidangan yang disediakan sudah pasti tidak mengecewakan pemburu makanan kerana G4 Pit Stop Route FT 005 KM 377 menyediakan menu terbaik dan pemandangan laut biru Selat Melaka yang mengujakan. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya