KUDAPAN seperti sandwich ketika ini bukan sekadar untuk sarapan tetapi juga makan tengah hari, minum petang malah makan malam, khusus untuk mereka yang ingin mengubah selera.
Nah, bagi mereka yang ingin menjamu selera makanan sihat namun tidak kalah juga mengenyangkan, Kafe Bread Republic ini barangkali jawapannya.
Bukan sekadar sandwich yang biasa anda temui malah pelbagai jenis yang dilihat cukup berkhasiat dalam piramid makanan daripada karbohidrat, protein, kalsium, vitamin sehingga ke serat.
Istimewa kafe yang boleh dianggap satu-satunya seumpama itu di bandar raya ini menyediakan sekurang-kurangnya 17 jenis sandwich daripada pelbagai inti dan patty termasuk ayam, daging, salmon dan daging itik.
Bagi yang menggemari sandwich dengan sedikit cita rasa Melayu, Bread Republic mencipta satu menu istimewa iaitu daging cili padi buatan sendiri yang barangkali hanya dijual di sini.
Tidak ketinggalan sandwich untuk vegetarian seperti buah-buahan dan keju untuk menawan selera mereka yang ingin diet.
Khabarnya, menu ke-18 sandwich di kafe ini akan muncul tidak lama lain iaitu daging kambing untuk memenuhi selera penggemarnya. Bukan sekadar sos cili dan mayonis, sandwich Bread Republic ini juga istimewa kerana menggunakan sos resepi rahsia pemiliknya. Kesemua sandwich tersebut didatangkan dalam tiga bahagian iaitu saiz S yang mempunyai lapan keping, M (12) dan L (24) yang menggunakan roti putih atau wholemeal yang dihidangkan dalam kotak untuk dibawa pulang atau menjamu di kafe itu. Tidak ketinggalan croissant. Bagi pelanggan yang menginginkan makanan Barat, kafe ini menyediakan pelbagai menu lain seperti pasta, bagel hingga ke minuman panas serta sejuk. Minuman Mohito Ribena dan Mohito Orange paling digemari.
Menurut pemilik Bread Republic, Muhammad Mustamir Mustafa, 39, beliau memulakan bisnes berkenaan sejak 2017 bersama isterinya, Yang Zarina Abd. Rahman, 36, secara kecil-kecilan di rumah.
“Baru dua tahun lepas kami buka kafe ini untuk memudahkan pelanggan mendapatkan sandwich setelah melihat sambutan menggalakkan. Selain makan di kafe dan bawa pulang, kami juga buat penghantaran ke rumah atau pejabat.
“Banyak pelanggan adalah mereka yang bekerja di pejabat yang menempah untuk jamuan,” katanya.
Menurut Muhammad Mustamir, kesemua resepi sandwich direka khas oleh mereka berdua untuk menyesuaikannya dengan selera orang Malaysia.
“Kami suka makan dan mencuba makanan baharu. Itu juga sebab kami ceburi bidang ini. Banyak resepi kami olah ikut kesesuaian orang kita,” ceritanya.
Katanya, menu yang mendapat sambutan di kafe itu ialah sandwich grilled chicken, spicy tuna dan cili padi beef patty.
KAFE BREAD REPUBLIC
Lokasi: Lot A9 Bazar Mergong 1, Jalan Seberang Putra, Alor Setar, Kedah
Waktu operasi: 8 pagi – 5.30 petang (Tutup Jumaat)