SAYA pasti masih ramai belum tahu dan mencuba makanan Jepun yang kurang dikenali ini. Kalau ada pun banyak berkisar tentang sushi apabila bercerita mengenai hidangan dari negara matahari terbit ini.
Bagaimanapun, nama mazesoba yang merupakan campuran mi dan dihidangkan di restoran Uchiya Mazesoba ini tidak kurang hebat rasanya.
Terdapat lebih 10 jenis hidangan mazesoba boleh dinikmati pengunjung apabila datang ke satu-satunya restoran yang menghidangkan menu halal ini.
Paling wajib dicuba sudah semestinya Chicken Donburi Special. Menu ini dihidangkan bersama pelbagai bahan antaranya minyak bawang putih, shoyu, leek, kuning telur mentah, campuran tujuh rempah dan daun bawang itu dimakan bersama ajitsuke tamago (telur ramen).
Rasa kenyal mazesoba yang digaul bersama bahan-bahan tersebut memberi kelainan bagi penggemar makanan autentik Jepun.
Percayalah, tiada rasa hanyir telur walaupun digaul bersama dengan semua bahan dalam hidangan ini.
Malah campuran kuning telur ini sebenarnya berfungsi untuk menjadikan mazesoba berkrim dan sekiranya inginkan rasa pedas, menu ini boleh ditambah dengan sweet and spicy chili garlic. Namun, hakikatnya bukan mudah untuk membuat mi yang dihasilkan daripada tepung protein tinggi ini kerana ia akan diuli dan mengambil masa selama enam jam.
Selepas diuli dalam tempoh itu, mi ini kemudiannya akan direbus selama tujuh minit bagi menghasilkan tekstur yang kenyal.
Menu yang dihidangkan bersama ayam goreng disalut kanji kentang memberikan rasa lebih ranggup berbanding menggunakan tepung gandum. Harga untuk set ini adalah RM28.
Selain dihidangkan bersama ayam, terdapat mazesoba yang turut dihidangkan bersama daging panggang iaitu Beef Mazescoba Special.
Untuk hidangan ini, daging yang digunakan adalah daging import yang direbus selama lebih lima jam sebelum dipanggang untuk menghasilkan tekstur lembut.
Selain mazesoba, pengunjung juga boleh memilih untuk menggantikan mi dengan donburi iaitu nasi. Namun rasa dan ramuannya sama seperti mazesoba.
Di samping mazesoba, restoran ini turut menghidangkan menu lain seperti Chicken Katsu Rice.
Untuk menu ini pula kepingan ayam akan digoreng seakan-akan chicken chop dan dimakan bersama nasi serta diberikan sos katsu. Harga untuk hidangan ini adalah RM30.
Dalam pada itu, Chef Eksekutif Uhiya Mazesoba Mohamad Zairi Abdul @Abdullah memberitahu, semua makanan yang dimasak di restoran ini menggunakan resipi khas bagi mengikut kesesuaian dengan cita rasa tempatan termasuk untuk yang beragama Islam.
“Mazesoba ini berasal dari Nagoya, Jepun. Tetapi kita ubah sedikit dengan beberapa bahan lain yang halal.
“Kita telah membuat uji kaji terhadap semua menu ini untuk beberapa bulan bagi menghasilkan makanan berkualiti tinggi,” jelasnya.
Tambah Mohamad Zairi, perkataan uchiya juga mempunyai maksud tersendiri iaitu comel.
Restoran yang terletak di 153, Jalan Aminuddin Baki, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur ini dibuka setiap hari dari pukul 12 tengah hari sehingga 10 malam. – Mingguan Malaysia
Kelainan rasa Mazesoba halal pertama di Malaysia
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
- 18 Jun 2023, 1:37 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am