MENU-MENU seperti nasi kabsa, nasi maqlubah atau nasi mandy sudah menjadi kelaziman kalau pergi ke restoran makanan Arab.
Ia juga sudah menjadi begitu sinonim di sebalik kewujudan banyak restoran dari rantau Asia Barat yang disifatkan bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Bagaimanapun, untuk mereka yang mahu menikmati makanan autentik dari Syria, anda perlu datang ke restoran Damascus di Bukit Bintang.
Restoran yang begitu terkenal dan tular dengan Shawarma sebelum ini sebenarnya mempunyai menu lain lebih asli khusus dari Syria.
Antara menu wajib cuba di restoran ini adalah lamb creamy shakria dan lamb creamy kebbeh yang mempunyai rasa seakan-akan sup cendawan dan ditambah daging kambing.
Terus terang saya katakan, hidangan ini kelihatan sedikit pelik ketika pertama kali di hidangkan di atas meja kerana berwarna putih dan agak pekat serta dicampurkan dengan daging kambing.
Namun, rasa dagingnya yang lembut dan dimasak dengan yogurt sangat berkrim, sekaligus menghilangkan kejanggalan pada diri saya.
Apa yang menarik, daging kambing ini diperap selama tiga hari terlebih dahulu sebelum dimasak bersama bahan lain.
Selain itu, kedua-dua menu ini dihidangkan dengan nasi yang dimasak dengan menggunakan beras Basmathi serta ditaburkan dengan kacang.
Menu ini tidaklah pedas dan tidak mempunyai rasa rempah ratus yang terlalu ketara sebagaimana menu makanan Arab lain.
Harga untuk hidangan ini adalah RM39.90 bagi lamb creamy shakria dan RM32.90 untuk lamb creamy kebbeh.
Bagaimanapun, sebelum menikmati kedua-dua hidangan ini, ada baiknya memesan menu pembuka selera yang wajib dicuba iaitu mix appetizer berharga RM39.90 yang terdiri daripada hummus, baba ghanoush, mutabal dan muhammarah.
Hidangan ini akan dimakan bersama roti dan merupakan hidangan wajib sebagai pembuka selera di negara Asia Barat.
Selain itu, untuk pengunjung yang tidak mahukan hidangan berat boleh memesan menu lain seperti Arabi plate iaitu Shawarma yang dipotong kecil dan kentang goreng dengan harga RM22.90 untuk saiz biasa manakala RM29.90 untuk saiz besar.
Bukan itu sahaja, pengunjung juga wajib mencuba cheezy samosa yang diisi dengan ‘keju tarik’ dan semestinya memberikan kelainan daripada segi rasanya berbanding samosa tempatan.
Dalam pada itu, Penyelia Damascus, Mohammad Rabah Issam memberitahu, restoran ini menyediakan masakan Syria yang asli dengan menggunakan bahan segar selain harga berpatutan.
Restoran yang terletak di 111, Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang ini dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi sehingga 2 pagi. – Mingguan Malaysia