CUKUP dengan hanya mencuba piza Margherita sudah dapat menjangka sejauh mana keaslian dan keenakan keseluruhan menu berkenaan serta makanan Itali lain di sesebuah restoran.
Itu kata seorang chef dari negara tersebut yang saya kenali dan mungkin apa yang diperkatakan ada benarnya ketika berkunjung serta mencuba piza Margherita restoran Isabelle baru-baru ini.
Walaupun dipandang ringkas, piza yang turut dikenali sebagai piza Neapolitan ini mempunyai kelembutan sendiri dengan keenakan rasa kombinasi keju mozarella serta sos tomatonya.
Apa yang menarik, keju yang diletakkan bersama piza ini didatangkan khas dari negara itu dan sudah pasti terasa keasliannya lebih-lebih lagi dimakan ketika masih panas.
Malah menikmati piza berharga RM48 ini terasa seperti berada di Itali lebih-lebih lagi ada signifikan tersendiri yang turut menggambarkan bendera negara berkenaan iaitu merah, hijau dan putih.
Bagaimanapun, sebelum menikmati hidangan pizza ini, ada baiknya anda memesan hidangan pembuka selera iaitu eggplant parmigiana yang merupakan kombinasi antara terung, sos tomato, keju dan beberapa bahan lain.
Rasa terung yang dibakar dengan semua bahan tersebut seakan-akan menikmati kelembutan daging yang diletakkan keju diatasnya.
Jika mahukan sesuatu yang nampak unik, anda boleh mencuba Buratta iaitu keju asli yang lembut dan segar dengan diperbuat daripada susu lembu serta diletakkan bersama salad dan hirisan parmesan. Harga untuk hidangan ini adalah RM75.
Sementara itu, seandainya mahu mencuba sesuatu kelainan dan menu yang agak berat, anda boleh mencuba nasi ala Itali iaitu hidangan Risotto Del Giorno.
Hidangan ini dimasak dalam stok (stok ayam atau daging) dan ditambah dengan beberapa
makanan laut termasuk kupang menjadikan ia begitu enak serta terasa kemanisan tersendiri dari cita rasa asli Itali.
Harga untuk menu ini adalah RM80 dan boleh dinikmati antara seorang atau dua orang. Di samping itu, untuk pencinta spaghetti pula, anda boleh memesan menu Spaghetto Alla Carbonara.
Saya pasti menu yang dimasak bersama kuning telur, keju Roman Pecarino, lada hitam dan bacon itik akan menjadi hidangan pilihan untuk mereka yang gilakan spaghetti.
Hidangan berharga RM55 ini sangat berkrim dan sangat sesuai untuk kanak-kanak.
Bukan itu sahaja, restoran Itali ini juga turut menyediakan makanan ala-ala cita rasa Malaysia apabila menyediakan menu Frittura Dimare atau mungkin dikenali sebagai udang mahupun sotong celup tepung dalam kalangan rakyat di negara ini. Menu berharga RM58 ini tidak kurang hebatnya.
Tidak lengkap rasanya kalau menikmati semua menu utama tanpa pencuci mulut. Justeru, Panna Cotta Al Frutto Della Passione yang merupakan kastard Itali dan campuran buah Markisa perlu dicuba lebih-lebih lagi rasanya tidak begitu manis dan sungguh berkrim.
Dalam pada itu, Chef Eksekutif Nicolo Delbono berkata, semua bahan asas yang digunakan diimport khas dari Itali bagi memastikan makanan yang dihidangkan benar-benar asli.
Selain itu, katanya, kebanyakan masakan di sini juga dimasak dengan kaedah tradisional bagi memastikan rasa keenakan kekal terpelihara.
Restoran yang terletak di GE-204B & 232A, City, IOI City Mall, Putrajaya ini dibuka setiap hari dari pukul 11 pagi sehingga 10 malam. – Mingguan Malaysia