LOKASINYA agak ‘tersorok’ di bawah jejambat dalam kawasan kampung di Batas Liku, Arau Perlis.
Namun, jika makanannya sedap, layanan ‘tip top’ dan suasananya selesa, tidak perlu risau, terletak di ceruk kampung mana sekali pun pastinya orang akan cari.
Begitulah suasana di The Bunker Cafe yang diusahakan oleh Hazrol Hafiz Hashim,37, bersama kakaknya, Hasmiza, 40.
Tidak menunggu lama, kafe yang berdekorasi gabungan moden dan tradisional itu cepat menarik perhatian ramai ke situ meskipun tidak sampai dua bulan beroperasi.
Kafe berkenaan menyediakan hidangan sarapan yang beroperasi dari pukul 7.30 pagi sehingga 12 tengah hari manakala sebelah malam dari pukul 6 petang sehingga 12.30 tengah malam yang menyediakan makanan Barat dan pelbagai lagi menu lain.
Apa yang istimewa, pelanggan boleh menikmati antara hidangan paling menarik perhatian di sini – ‘English Breakfast’ iaitu kombinasi roti bakar, sosej, hash brown, telur mata dan salad dengan harga serendah RM8.90 sahaja.
Menikmati ‘English Breakfast’ dalam suasana kampung, memang cukup menerujakan.
Tidak dilupakan makanan tradisional, nasi lemak dengan kombinasi telur, ikan bilis dan ayam berempah yang dilengkapi sambal yang cukup sedap serta lontong juga disediakan.
Nasi lemak dan lontong di sini juga antara yang paling menarik perhatian pelanggan.
Pelbagai pilihan lain juga disediakan untuk sarapan seperti moi berlauk, roti arab, roti bakar kaya, roti telur cheese, roti bakar chicken slice dan roti titab.
Menariknya, sempena musim harumanis ketika ini, kafe berkenaan turut menyediakan hidangan istimewa iaitu pulut harumanis, harumanis smoothie dan pulut ayam.
Untuk keselesaan para pengunjung, selain ruangan terbuka, kafe ini mempunyai ruang makan berhawa dingin yang sangat selesa.
Hazrol berkata, meskipun baru beroperasi namun sambutan diterima amat menggalakkan.
Ceritanya lagi, pelanggan yang datang terdiri daripada pelbagai lapisan umur dengan ramai dalam kalangan mereka apabila cuba sekali pasti akan datang semula selepas itu untuk menikmati hidangan di sini.
Tambah bapa kepada dua orang anak itu, lokasi tersebut akan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa termasuk daripada segi penambahan menu pada masa akan datang.
“Alhamdulillah, setakat ini, meskipun lokasi kafe tersorok namun ramai yang datang,” katanya.
Dalam pada itu, antara menu yang disediakan pada sebelah malam pula termasuk Chicken Chop,Chicken Grill , Lamb Chop, Beef Steak, Fried Rice Chicken Chop, Fried Rice Chicken Grill dan Fried Rice Lamb Chop.
Bagi memberi lebih pilihan kepada pelanggan, kafe ini juga menyediakan sate dan nasi set iaitu kombinasi nasi putih, ayam goreng, kuah gulai tradisional, sambal belacan dan ulam dengan harga serendah RM10. – Mingguan Malaysia