Kelainan menu ala Baba Nyonya di Wood & Grill - Utusan Malaysia

Kelainan menu ala Baba Nyonya di Wood & Grill

Chef Khai menunjukkan lima menu masakannya yang istimewa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU ditanya apakah menu masakan Baba dan Nyonya atau peranakan sebelum ini, jujur saya katakan tidak tahu kerana belum pernah mencubanya.
Tetapi selepas berkunjung ke restoran Wood & Grill, menu masakan peranakan mempunyai tarikan dan keenakan tersendiri.
Kalau sangsi apa yang saya katakan, cubalah datang ke sini dan menikmati menu Kari Ikan Wood & Grill yang dimasak dengan cara Nyonya.
Kari yang menjadi hidangan wajib dicuba ini menggunakan ikan siakap dan dicampur pelbagai bahan seperti tomato, terung, bendi, jintan manis dan tauhu goreng.
Lain daripada lain dan tidak boleh disamakan sebagaimana kari mamak atau kari ala Melayu, Kari Ikan Wood & Grill boleh dinikmati seramai tiga orang pada harga RM79.90.
Selain kari, kelembutan Ayam Panggang Wood & Grill yang diperap dengan menggunakan rempah serta kaedah tersendiri ini mampu membuatkan sesiapa sahaja terliur.
Untuk mereka yang datang bersama anak-anak, menu ini sangat sesuai kerana kelembutan dagingnya selain dihidangkan dengan sos buatan sendiri yang tidak pedas.
Harga untuk hidangan ini adalah RM55.90 dan boleh dimakan antara tiga sehingga empat orang.
Di samping dua hidangan protein, pengunjung wajib mencuba menu bendi yang direbus dan diletakkan sambal udang kering yang dicampur belacan.
Sesiapa sahaja boleh mencubanya walaupun pada awalnya sambal disertakan kelihatan pedas. Harga untuk menu ini pula adalah RM16.90.
Bukan sekadar ayam dan ikan, makanan laut turut disediakan terutama bagi mereka yang gemarkan sotong.
Anda boleh mencuba Octopus Goreng Chili Garam yang semestinya menampilkan kelainan daripada segi rasa dan rupa jika dibandingkan dengan sotong goreng tepung di restoran ala Thailand.
Seandainya mahu bersantai bersama rakan tanpa mahu menikmati hidangan berat, pengunjung boleh memesan hidangan Grill Mix Platter yang menggabungkan daging ayam, lembu, sosej dan kambing yang panggang selain disertakan Nasi Lemak Bunga Telang.
Saya ingin katakan di sini, tiga jenis sos diberikan iaitu sos Laksa Nyonya dan Lemon Butter Cream yang dibuat sendiri begitu sedap serta kombinasi terbaik untuk hidangan ini.
Selain itu, turut disertakan acar yang mengandungi campuran buah-buahan selain terung yang diletakkan dua jenis sambal iaitu sambal cili dan sambal hijau.
Paling penting, hidangan berharga RM 89.90 ini boleh dinikmati antara tiga ke empat orang.
Selain hidangan lauk pauk, pengunjung turut mempunyai pilihan untuk mencuba hidangan ala carte antaranya pasta, burger dan pelbagai hidangan nasi.
Dalam pada itu, Ketua Chef, Khai bila ditanya perbezaan antara masakan Baba Nyonya dengan masakan lain memberitahu, ia mempunyai sedikit rasa manis, pedas dan masam.
Paling penting katanya, restoran ini menggunakan bahan masakan yang segar dan premium bagi memberi kepuasan sepenuhnya kepada pelanggan, sekaligus menjamin keenakan dan kualitinya.
“Selain itu, kita juga menggunakan bahan dan produk yang halal,” jelasnya.
Restoran yang terletak di Lot GF-10, 11 & GB-13, Level G kompleks beli-belah Paradigm Mall ini dibuka setiap hari dari pukul 11 pagi sampai 10 malam. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya