SIAPA sangka bandar Jelapang yang terletak berhampiran Ipoh,iaitu ibu negeri Perak juga mempunyai restoran berkonsepkan mewah dengan harga berpatutan.
Apa yang menarik, cita rasa dan hidangan tempatan turut di sediakan di restoran Entro 38 serta tidak tertumpu kepada makanan Barat semata-mata.
Antara menu yang mesti dicuba adalah daging salai yang saya rasa patut menjadi hidangan wajib kalau datang ke sini. Ini kerana menu yang sudah menjadi kebiasaan dan cukup terkenal di Negeri Sembilan ini mempunyai kelembutan daging tersendiri selain rasanya yang tidak terlalu pedas serta berlemak.
Jadi, untuk mereka yang tinggal di Perak, tidak perlu bergerak jauh sehingga ke selatan tanah air semata-mata mahu menikmati daging salai.
Selain itu, hidangan ini turut didatangkan dengan kombinasi nasi hujan panas yang gebu dan bukannya nasi putih sebagaimana menjadi kebiasaan di tempat lain. Turut digandingkan dalam hidangan ini, adalah acar.
Pada saya dengan berharga RM28, menu ini sudah cukup lengkap dan memberikan ‘rasa tambahan’ sehingga membuatkan anda terlupa tentang diet seketika.
Di samping daging lemak salai, menu berasaskan masakan yang hampir sama turut terdapat di restoran ini iaitu ikan tenggiri masak lemak dengan harga RM25.
Bagi mereka yang mahukan masakan Barat, terdapat pelbagai menu lain disediakan antaranya seafood aglio olio.
Entro 38 cuba lari daripada tipikal kebanyakan restoran lain dengan turut memasukkan sotong kurita sebagai salah satu bahan utama.
Turut diadun bersama menu ini sudah semestinya keju parmigiano reggiano dan pengunjung boleh memilih sama ada makanan laut, ayam atau itik untuk digandingkan bersama pasta yang berharga RM38 ini.
Di samping itu, pengunjung yang mahukan sesuatu menu lebih sihat boleh mencuba norwegian salmon.
Pada saya, menu ini turut menjadi hidangan wajib dicuba lebih-lebih lagi apabila dimakan bersama kentang putar selain beberapa jenis sayur lain seperti lobak merah, kobis bunga dan brokoli.
Ada sebab mengapa saya menjadikan menu ini sebagai pilihan. Pertama, kepingan ikan salmon ini dipanggang sempurna dan tidak terlalu kering serta boleh dimakan sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak.
Kedua, kentang putar yang dimakan bersama salmon cukup enak, apatah lagi sekiranya diletak sos lada hitam.
Sebenarnya banyak lagi yang boleh dipilih dan dicuba pengunjung apabila datang ke sini.
Antaranya hidangan burger, lamb shank, pelbagai hidangan stik seperti angus, wagyu dan tomahawk serta beberapa menu Asia lain.
Dalam pada itu, pemilik restoran Nur Azmina Jeff memberitahu, nama restoran tersebut merupakan singkatan bahasa Inggeris iaitu Entertainment Bistro.
Menurutnya, restoran Entro 38 dibuka setiap hari kecuali Isnin dari pukul 5 petang sehingga 11 malam. Restoran ini terletak di No 38, Jalan Jelapang 2, Jelapang Square, Ipoh, Perak. – Mingguan Malaysia
Entro 38: Ghaso nogori di Perak
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
- 28 Mei 2023, 1:07 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am