DENGAN menampilkan kelainan, Semenyih Eco Venture Resort & Recreation membawakan konsep berbuka puasa yang berbeza berbanding di tempat lain
Bukan sekadar menghidangkan lebih 200 menu masakan tradisional, Asia dan Timur Tengah, pelanggan juga boleh memilih menginap dan menumpukan ibadah selama sebulan di sini dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim).
Apa yang menarik, menerusi pakej Perkampungan Madani Ramadan Dihayati, pelbagai aktiviti disediakan antaranya pengajian kitab, tadarus Al-Quran, solat Tarawih dan qiamulail selain berbuka puasa bersama kumpulan Rabbani.
Untuk mereka yang hanya mahu berbuka puasa sahaja beberapa menu wajib boleh dicuba antaranya nasi briyani kambing dan nasi arab.
Kedua-dua nasi ini dimasak dengan menggunakan pelbagai rempah ratus sehingga memberikan kelazatan tersendiri.
Malah, rasa dagingnya yang lembut dan tanpa ada bau hamis sudah semestinya menjadi pembuka selera ketika bulan puasa.
Harga bagi pakej berbuka puasa bersama kumpulan Rabbani adalah RM68 untuk dewasa manakala warga emas RM40 dan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah percuma.
Untuk mereka yang mahu menginap dan beribadat selama sebulan atau 10 malam terakhir, pakej yang disediakan pula adalah RM1,990.
Pengunjung yang memilih salah satu pakej di sini turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah iaitu pakej umrah dan percutian di Semenyih Eco Venture.
Berbuka ala k-pop di K-Town
SEANDAINYA buntu memikirkan menu berbuka puasa dan mahu lari daripada kebiasaan, hidangan Korea yang jarang diperkatakan boleh dicuba.
Saya yang adakalanya mahukan kelainan untuk menu berbuka puasa, turut mendapat idea.
Apa tidaknya, di K-Town pengunjung akan dihidangkan dengan lebih 50 menu di samping 12 jenis minuman ala Korea.
Menu-menu seperti Tteokbokki, Kimchi Jjigae dan grill platter antara yang boleh dicuba di sini.
Untuk mereka yang tertanya-tanya, Tteokbokki merupakan tepung beras (seperti laksam) dimakan bersama sosej serta telur rebus di samping kuah yang rasanya seperti masakan tiga rasa serta berasa pedas manakala untuk Kimchi Jjigae pula, ia adalah salad jeruk bersama cili dan garam dan turut mempunyai cendawan Jepun serta tauhu.
Pengunjung juga mempunyai pelbagai pilihan lain seperti ayam dan daging serta makanan laut di sini dengan cita rasa ala K-pop.
Semua hidangan All You Can Eat ini boleh dinikmati pada harga RM79.00++ pada hari biasa dan RM89.00++ untuk hujung minggu. Sementara itu, kanak-kanak dan warga emas, mereka boleh menikmatinya serendah RM39.00++. – MINGGUAN MALAYSIA