Apa itu Nasi Lemak Krabster? - Utusan Malaysia

Apa itu Nasi Lemak Krabster?

Sebahagian menu menarik yang terdapat di Kafe Nasi Lemak Krabster TTDI. - MINGGUAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mesti ramai beranggapan makan nasi lemak versi ‘kayangan’ apabila ia digandingkan dengan lobster. Bunyinya, sahaja sudah cukup mewah dan mampukah kita rakyat marhaen mencicipnya?
“Boleh, boleh, sebab harganya masih mampu milik dan berbaloi. Kami datangkan dalam bentuk segar dan masih hidup dari Kanada, jadi rasa udang lobster kekal manis dan enak.
“Harga di kafe masih rendah dan ramai yang berpuas hati terutama yang biasa makan di restoran mewah dan lima bintang. Benar, lobster harganya agak tinggi tetapi di sini sepinggan dengan berat mencecah 500 gram, dihidangkan dengan nasi lemak sambal sedap, belum mencecah RM200 sepinggan.
Begitu reaksi Mohd. Zul Helmi Mohamad Muhsin, 39, bila ditanya mengenai keistimewaan hidangan di Kafe Nasi Lemak Krabster. Selain menu itu, banyak lagi makanan yang asasnya dihidangkan bersama nasi lemak yang lengkap kacang, ikan bilis, timun dan sambal.
Kafe yang dibangunkan sebaik saja berkurangnya kes Covid-19 pada tahun lalu itu dimiliki tiga rakan kongsi yang berbeza latar belakang. Bagaimanapun, mereka mempunyai kelebihan masing-masing untuk kekal di bawah satu jenama perniagaan. Mohd. Zul Helmi Mohamad Muhsin, Mohd. Amirul Aliff Mohd. Tajuddin dan Nizal Mohd. Mokhtar.
Ditanya bagaimana tercetusnya idea membuka kafe, Mohd. Zul Helmi atau mesra disapa Helmi bercerita.
“Aliff berkawan baik dengan Nizal dan saya pula selalu lepak dengan kawan-kawan Aliff. Hubungan kami bermula sebegitu. Saya suka dan boleh memasak dan mempunyai perniagaan katering sebelum ini.
Pernah membuka restoran di sekitar Jalan Pinang, KLCC tetapi lepas tiga bulan negara dikejutkan dengan PKP, jadi perniagaan juga kacau dan tutup. Nazil mahir dalam selok-belok pemasaran dan Aliff pula dalam bidang pengiklanan dan seorang content creator yang berbakat.
“Kami duduk, berbincang dan akhirnya, beginilah hasilnya, Nasi Lemak Krabster. Krabster itu gabungan nama Crab (ketam) dan Lobster,” ujarnya.
Helmi ditemui di kafe miliknya yang berlokasi di Rasta, sebuah medan selera yang popular sejak tahun 2000 di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Kuala Lumpur.
“Uniknya lokasi ini, berada di antara sempadan TTDI dan Kampung Sungai Penchala dan wujud hampir 20 tahun lalu. Saya masih ingat ketika bujang, Rasta sudah popular dan meriah saban malam. Ini antara tempat makan yang pasti dikunjungi anak muda yang tinggal di Lembah Klang,
“Apabila Covid-19 dan PKP, lokasi jadi lenggang dan ramai tutup kedai. Selepas hampir dua tahun tuan tanah mahu menjenamakan semula lokasi dan kami pula sedang mencari lokasi membuka kafe, maka berjodohlah di sini,” ujarnya.

Keunikan kafe ini apabila berani menampilkan ketam nipah dan lobster sebagai antara tarikan utama atas alasan sukar mencarinya di sekitar Kuala Lumpur dengan harga mampu dinikmati.
Menurut Aliff, tiga menu yang sering menjadi permintaan pelanggan ialah Nasi lemak Boston Lobster Garlic Butter Sauce, Nasi Lemak Ketam Nipah dan Nasi Lemak Siakap Selimut Bakar.
“Kami sengaja ketengahkan nasi lemak walaupun sedar ramai yang menawarkan menu sama, namun untuk kelainan dan keenakan kami gunakan beras Basmathi. Kami gunakan juga santan kotak untuk standard masakan pada bila-bila masa. Daun pandan antara wajib untuk aroma nasi dan sambal juga menggunakan kaedah home made, jadi rasa lebih asli dan ketagih,” katanya.
Menu lain ditawarkan, Nasi Lemak Ayam Kampung dan Ayam Pandan, Nasi Lemak Baby Crab, Nasi Lemak Sotong Tempura, Nasi Lemak Butter Prawn, Nasi Lemak Sambal Udang Rimau Petai.

KAFE NASI LEMAK KRABSTER TTDI
3053-A, Rasta ,
Taman Tun Dr Ismail
60000, Kuala Lumpur.
Waktu operasi: 4.30 petang hingga 12 tengah malam
(Tutup Isnin).
IG/FB/TikTok: @nasilemakkrabster
Tel : 013-4104577

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya