KUALA Perlis sebagai salah satu destinasi pelancongan popular di negeri ini sememangnya terkenal dengan ‘port’ makanan laut yang menjadi tumpuan pengunjung apabila singgah di sini.
Dalam banyak restoran makanan laut di Kuala Perlis, Restoran Umar Seafood And Grill yang terletak di Kampung Seberang Ramai antara yang menarik perhatian kerana bukan dek kerana menunya sahaja sebaliknya turut menawarkan perkhidmatan bot ronda bagi melihat keindahan kawasan berkenaan.
Restoran yang mula beroperasi pada 31 Disember lalu itu lebih berkonsepkan santai malah terdapat ruang khas seperti dataran bagi membolehkan pelanggan meluangkan masa bersama ahli keluarga.
Pengunjung juga boleh menikmati angin malam sambil menaiki perkhidmatan bot ronda yang turut tersedia di restoran berkenaan.
Pemiliknya, Khairul Akif Azhar, 25, berkata, terdapat beberapa menu menarik buat pengunjung antaranya ikan bakar, butter prawn, masakan ala Cina, masakan Thailand, shellout dan pelbagai lagi.
“Kami menyediakan makanan laut seperti siput, ketam, udang dan ikan segar untuk pelanggan pada setiap hari. Malah, terdapat juga pelbagai jenis ikan antaranya seperti gerut, jenahak, pari, siakap, bawal dan banyak lagi disediakan mengikut cita rasa pelanggan,” katanya.Ceritanya lagi, antara sajian yang mendapat permintaan tinggi adalah masakan shellout, ikan bakar petai dan ikan bakar masak lemak.
Menurut Khairul, walaupun baru beroperasi, kebanyakan pelanggan amat berpuas hati dengan kualiti makanan yang menggunakan bahan-bahan segar dalam penyediaannya.
“Kebanyakan mereka berpuas hati dengan makanan-makanan laut dengan harga berpatutan,” katanya.
Dalam pada itu, bapa kepada seorang anak itu berkata, selain makanan laut segar, restoran itu turut menampilkan kelainan dengan menyediakan bot ronda kepada pengunjung yang ingin bersiar-siar menikmati angin malam.
Kata Khairul, perkhidmatan Umar Cruise yang beroperasi bermula pukul 5 petang itu menyediakan pakej buat pengunjung untuk ke Pulau Batu Layang atau menelusuri perairan muara menuju ke Tok Kuning.
“Pada waktu malam, kami juga boleh membawa penumpang bersiar-siar di sekitar kawasan perairan berhampiran restoran ini.
“Caj perkhidmatan bot ronda ini adalah RM25 bagi dewasa manakala kanak-kanak pula berharga RM15,” katanya.
Di samping itu, Khairul berkata, ruang dataran yang terdapat di restoran berkenaan turut menjadi lokasi tumpuan pengunjung untuk bergambar.
Menurut Khairul, dia mendapat cetusan idea bagi menjalankan operasi restoran itu menerusi hasil perbincangan bersama keluarga dalam menyediakan perkhidmatan makanan laut berkualiti dengan konsep santai kepada pelanggan.
“Restoran ini beroperasi bermula pada pukul 5 petang sehingga 11 malam pada setiap hari dan kebanyakkan pelanggan kami juga terdiri daripada pelancong luar,” katanya. – MINGGUAN MALAYSIA
Nikmati makanan laut sambil ronda dengan bot
- Oleh ASYRAF MUHAMMAD
- 19 Februari 2023, 1:03 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Banjaran Nakawan memukau, tarikan baharu pelancongan di Perlis
24 Disember 2024, 7:00 am
Sita: Memalukan tetapi cara cepat kutip hutang
15 Disember 2024, 10:47 am
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am