HARUM bau pastri yang sedang dibakar bercampur aroma latte yang mengapung di kafe Sweetoothdelight menggamit kunjungan pelanggan. Kehadiran anak-anak kecil menyerikan suasana, mereka tersenyum meleret-leret melihat deretan pelbagai jenis kek yang viral antaranya biscoff brownies cheesecake di dalam rak almari kaca.
“Kek ini memang sedap, terdiri daripada lapisan brownies di bahagian bawah, biscoff kek keju di atasnya dan di lapisan sos biscoff. Rasa mewah coklat brownies dan gabungan kek keju biscoff yang lemak manis menambahkan rasa premium terutama pengemarnya.
“Banyak lagi yang pengunjung suka, ada cinnamon roll, seasalt brownies, nutella red velvet cake, hokaido cupcake atau mini pavlova. Maaf kami di sini gunakan sebutan bahasa Inggeris untuk menu,” ujar Farah Hannan Ramli.
Agaknya perasan dengan tindakan spontan penulis yang mengangkat kening, muncul pula seorang lelaki dari dapur seolah-olah memahami maksud tersebut.“Memang manis tetapi itulah digemari kanak-kanak dan remaja. Kami jual ikut potongan sebab pengunjung gemar menikmati sepotong kek dan secawan latte.“Walaupun manis tetapi kami cuba mengawal kandungan dalam menu pemanis mulut supaya campuran rasa lemak dan manis kek terkawal. Paling penting sedap dan setiap gigitan bukan hanya terasa manis gula.
“Istimewanya di sini, kami juga memastikan ada hidangan pelbagai untuk memenuhi selera pengunjung dewasa. Boleh pilih puff kari daging, pai ayam, lasagne daging atau ayam,” ujarnya.
Lelaki tersebut Noor Hizwan Mohamad Said ialah suami kepada Farah Hannan yan telah bersama-sama mengusahakan kafe yang terletak di Soulthville City, Bangi Selangor sejak 2018.
“Jika mahu yang mengenyangkan juga boleh. Kami terus sediakan hidangan panas dari dapur. Ada spaghetti, cabonara, aglio olio atau pilih salmon pesto antara signature dish di sini.” tambah Hizwan.
Menurut Farah, kafe tersebut adalah lambang kesungguhan dan kerja kuat mereka yang sejak bergelar pelajar dan masih bujang mengambil tempahan kek kahwin dan hari jadi hampir 10 tahun lalu.
“Kami sama-sama di Fakulti Sains Komputer dan Matematik di Uitm Shah Alam, Selangor tetapi hujung minggu saya sudah buka meja berjualan kek di beberapa karnival. Saya sangat berminat membuat kek kemudian menjualnya dan ketika itu berkawan dengan Hizwan. Banyak yang dia bantu dan sambutan daripada orang ramai sangat menggalakkan.
“Hizwan menerima ijazah dalam pengurusan matematik dan bekerja dalam bidang perbankan. Saya dalam ijazah pengkomputeran netsentrik dan bekerja dalam syarikat teknologi maklumat. Kami berkahwin, bekerja namun tempahan kek terus diterima di hujung minggu. Purata diterima sehingga 15 biji kek dan paling popular ketika itu kek red velvet,” katanya.
Hizwan pula menambah, selepas Farah hamil, mereka nekad berhenti selepas hampir empat tahun bekerja. Tujuannya mencari kelainan pengalaman namun mereka mendapati pendapatan hasil tempahan kek lebih memuaskan.
“Melihat sambutan yang sangat baik kami berpindah dari Shah Alam ke Kuala Lumpur dengan mengambil tempahan dan membuatnya di rumah. Akhirnya kami ke Soulthville, Bangi dan membuka kafe.
“Menambah ilmu, kami ke kelas-kelas membuat kek dan pastri untuk terus kekal bersaing dengan pengusaha lain dan bercadang menghasilkan lebih banyak resipi.
“Pelanggan yang datang ke kafe pula gemar bertanya mengenai kek yang sedang sohor (trending), kami ikut rentak dan cita rasa semasa.
“Untuk 2023, kafe akan fokus menghasilkan pastri, antaranya aneka croissant yang kami rancang akan diperkenalkan selepas Farah bersalin anak kedua nanti,” jelasnya yang memiliki anak sulung Hana Amelia, berusia 4 tahun.
Kafe Sweetoothdelight
C-01-36, Savannah Retail ShopJalan BBLS2, Southvilee City, 422800, Dengkil, Selangor.
No telefon: 0173229384
Waktu operasi: 9 pagi hingga 6 petang
(Selasa-Ahad)