MENIKMATI kundas dan putu perak sudah biasa bagi sesiapa yang berkunjung ke Karai atau Kuala Kangsar. Namun, menikmati nasi goreng ketam sambil digandingkan bersama cendol durian dengan suasana kampung sesuatu yang wajib dicuba di Victoria Bridge Cafe.
Apatah lagi apabila sudah menjejakkan kaki ketika berkunjung ke jambatan Victoria di pekan Karai, Kuala Kangsar ini.
Di Victoria Bridge Cafe, set nasi goreng ketam yang dihidangkan menggunakan bahan mentah segar bagi memastikan kemanisan dan kelembutan makanan laut berkenaan.
Pengunjung hanya memerlukan sedikit kegigihan untuk membuka cengkerang ketam bagi menikmati keenakan isinya.
Paling menarik, pandangan mata pengunjung juga akan tertumpu kepada jambatan Victoria yang terletak betul-betul di hadapan kedai ini dan juga Sungai Perak di saat menikmati hidangan.
Dengan harga RM12, sudah semestinya menu ini sangat berbaloi bagi mereka yang bertandang ke sini lebih-lebih dihidangkan dengan suasana menarik.Cuma bagi saya, sos dan nasi goreng sedikit pedas untuk menu ini. Jadi untuk mereka yang tidak makan makanan pedas, anda perlu mengingatkan lebih awal sebelum hidangan tiba.
Selain itu, pengunjung juga boleh ‘pekena’ laksa atau mi kari terutama apabila anda tiba di waktu petang dan terpulang sama ada mahu memilih udang atau ketam untuk dimakan bersama.
Harga untuk hidangan ini hanya RM12 manakala laksa pula RM5.50. Laksa yang digunakan bukanlah laksa tepung gandum sebagaimana lazimnya digunakan pada ‘laksa kuale’.
Laksa ini diperbuat daripada tepung beras dan sama seperti laksa-laksa lain.
Untuk mereka yang tidak mahukan makanan berat, beberapa menu berasaskan durian boleh dicuba seperti serawa durian atau cendol durian.
Kelembutan pulut dan lemak santan segar tidak boleh disangkal apabila menikmati serawa durian di sini.
Malah, kemanisan dan keenakan durian jelas terasa sebaik suapan pertama masuk ke dalam mulut sehingga lupa masalah seketika.
Walaupun pengeluaran buah durian bergantung kepada musim, namun tidak untuk kedua-dua menu ini yang sentiasa ada sepanjang tahun.
Jadi untuk mereka yang mengidam, anda boleh sahaja datang ke kedai yang terletak betul-betul di hadapan jambatan Victoria di pekan Karai, Kuala Kangsar.
Dalam pada itu, pemilik Megat Sharfawi Ibrahim Megat Amri berkata, Victoria Bridge Cafe di buka dari pukul 10 pagi sehingga 6 petang setiap hari dan sudah beroperasi sejak beberapa tahun lalu. – Mingguan Malaysia
‘Sengatan’ menu ketam Victoria Bridge Cafe
- Oleh Mohamad Hafiz Yusoff Bakri
- 1 Januari 2023, 1:03 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am