MENIKMATI suasana mendamaikan dengan keindahan sawah padi menghijau berlatar belakangkan Banjaran Nakawan sambil menikmati hidangan tradisional yang mampu mengimbau kenangan di zaman kanak-kanak.
Itu pengalaman indah apabila berkunjung ke Sadiah Cafe iaitu kafe berkonsepkan alam semula jadi yang terletak di Kampung Wang Ulu, Bintong di sini.
Selain menikmati keindahan alam semula jadi, kafe yang mula beroperasi September lalu itu menyediakan pelbagai juadah warisan menarik untuk sarapan manakala pada sebelah petang mereka berpeluang menikmati sajian makanan ala Barat dan bergoreng. Antara sajian sarapan ‘klasik’ yang disediakan itu adalah ‘biskut mayat’, kopi o gula Melaka, nasi lemak kuning, peknga, pulut ikan kering, putu mayam, ayam berempah dan pelbagai lagi juadah yang sekaligus mampu membawa nostalgia di zaman kanak-kanak.
Pemilik Sadiah Cafe, Norazliana Adzame,41, berkata, antara juadah yang menjadi perhatian adalah biskut mayat yang dihidangkan bersama kelapa dan kopi o gula Melaka.
“Juadah ini sememangnya amat digemari pengunjung kami memandangkan tidak banyak tempat menyediakan makanan seperti ini yang dapat membawa mereka mengimbau kembali nostalgia di zaman dahulu.
“Malah, hidangan peknga, putu mayam dan nasi lemak kuning juga mendapat permintaan tinggi daripada pengunjung,” katanya.
Ceritanya lagi, Norazliana berkata, semua juadah di kafe itu juga tidak menggunakan perasa tambahan dan baik untuk kesihatan.
Katanya, juadah sarapan yang disediakan di kafe itu juga kebanyakannya makanan yang sering dihidangkan oleh Allahyarham neneknya, Sadiah Jusoh suatu masa dahulu ketika dia masih kanak-kanak.
Disebabkan itu, Norazliana berkata, dia mengambil inisiaitif menamakan kafe itu bersempena nama neneknya.
“Idea membuka kafe tercetus selepas rindu dengan kenangan zaman kanak-kanaknya sekitar tahun 70-an apabila kami adik beradik sering menikmati juadah disediakan nenek,” katanya.
Tambah Norazliana, konsep kafe itu juga memberi peluang kepada pengunjung menikmati keindahan alam semula jadi berlatar belakangkan sawah padi dan Banjaran Nakawan.
“ Alhamdulillah, sambutan diterima daripada pengunjung sama ada dalam atau luar Perlis memang amat menggalakkan.
“Bagi keselesaan pengunjung bersama keluarga, kami juga menyediakan ruangan kanak-kanak untuk melakukan aktiviti seperti melukis. Malah, pengunjung yang ingin menghayati keindahan alam semula jadi juga boleh memilih duduk di tingkat atas kafe atau menikmati juadah di tengah sawah,” katanya.
Dalam pada itu, Norazliana memberitahu, Sadiah Cafe beroperasi pada setiap hari kecuali Rabu dan sarapan disediakan bermula pukul 8 sehingga 10 pagi.
Pada petang pula, dia berkata, kafe tersebut beroperasi bermula pukul 5.30 petang sehingga jam 12 tengah malam.
“Kami juga mengalu-alukan pengunjung yang ingin datang berkumpulan dan turut menerima tempahan penganjuran majlis tertentu,” katanya. – Mingguan Malaysia
Sarapan ‘klasik’ di tengah bendang
- Oleh ASYRAF MUHAMMAD
- 8 Januari 2023, 1:03 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am