SEKIRANYA anda penggemar masakan kampung dengan cita rasa Melayu nusantara, Restoran Congkak merupakan pilihan paling tepat untuk menjamu selera bersama seisi keluarga.
Cawangan ketiga yang beroperasi di pusat beli-belah IOI City Mall Putrajaya sejak tiga bulan lalu semestinya menjadi lokasi strategik untuk dikunjungi, lebih-lebih lagi buat warga Serdang, Cyberjaya serta Sepang.
Sesuai dengan nama Restoran Congkak, perkara pertama yang akan menangkap penglihatan anda sejurus melangkah masuk adalah alat permainan tradisional itu sendiri iaitu congkak sebagai subjek utama dekorasi selain kain batik yang dijadikan alas di meja hidangan.
Jadi secara tidak langsung ia menimbulkan mood seperti berada di desa, ditemani sajian kampung berunsur Melayu nusantara dengan sentuhan moden.
Senarai menu memang banyak, tapi jika datang bersama keluarga apa kata anda cuba pilihan istimewa seperti nasi ambeng, tauhu telur, sate nusantara dengan kuah kicap, ikan wayang, kepah masak lemak atau okra sambal.
Nasi ambeng yang disajikan menggunakan dulang sangat instagrammable dengan dilengkapi sambal jawa, sayur campur, ayam masak kicap, ikan sambal, tauhu, begedil, ikan masin serta telur masin.
Portion nasinya pula banyak, cukup puas untuk dikongsi bersama dua hingga tiga orang.
Paling menarik perhatian, menu tauhu telur crispy yang rasanya seakan-akan telur sarang di dalam laksa, dihidang tegak dan cantik seperti menara bersama sos rojak dicampur kacang.
Jangan risau jika datang seorang atau berdua dengan rakan kerana anda boleh memilih set individu seperti nasi tumpeng ayam percik, nasi ulam ayam bakar taliwang dan nasi goreng ayam bakar berlado.
Menurut Chef Eksekutif Restoran Congkak, Mohd. Firdaus Daud, sate nusantara merupakan menu baharu yang diperkenalkan di ketiga-tiga cawangan termasuk di Bukit Bintang dan Damansara.
“Dahulu kita saji sate biasa, sekarang kita ada yang lebih istimewa iaitu sate nusantara yang dimakan bersama kuah kicap.
“Minuman pun banyak yang juga yang best untuk dicuba, kita ada cendol shake, chocado (avocado dan coklat), virgin mojito, soda bandung dan pulut hitam shake,” katanya.
Keenakan sajian yang dihidangkan di Restoran Congkak juga bukan sekadar cakap kosong.
Disember lalu, cawangan Bukit Bintang telah dinobatkan sebagai salah satu daripada 32 penerima anugerah Bib Gourmand menerusi Panduan Michelin Kuala Lumpur dan Pulau Pinang Tahun 2023.
Umum mengetahui, Panduan Michelin bukan sekadar senarai biasa seperti tempat makan viral, tetapi ia merupakan suatu penilaian terhadap kualiti, teknik, konsistensi makanan serta penguasaan teknik.
Jadi tidak keterlaluan untuk mengatakan Restoran Congkak berada dalam kelasnya tersendiri dan amat berbaloi untuk dikunjungi bagi mereka yang mengidam cita rasa tempatan klasik.
“Congkak Bukit Bintang dipilih dari segi konsistensi yang tidak berubah, kualiti makanan yang dihidangkan authentic, mengekalkan tradisi dan menggunakan bahan-bahan terpilih,” kata Mohd. Firdaus.
Berpengalaman lebih 18 tahun dalam bidang perhotelan dan F&B, Mohd. Firdaus berkata, Restoran Congkak akan untuk terus mengembangkan sayap dengan membuka sebuah lagi cawangan baharu berlokasi di Sri Hartamas atau KLCC pada tahun ini. – Mingguan Malaysia
Congkak @ IOI City Mall
Tel:
016-2624115
Alamat:
LG-233, Level G, IOI City Mall, Putrajaya