SIAPA sangka terselit sebuah restoran yang menghidangkan masakan Melayu asli klasik di tengah-tengah ibu kota. Paling menarik restoran yang dinamakan sebagai Irama Dining Kuala Lumpur ini terletak di bangunan warisan dan berlatar belakangkan Menara Kuala Lumpur.
Malah, menu yang terdapat di restoran ini menjadi tarikan sebenar dengan menghidangkan pelbagai hidangan klasik yang hampir lenyap dan sukar dicari pada zaman sekarang.
Rasa masakan di restoran ini, bagaikan sama seperti air tangan ibu sendiri.
Sebutlah apa sahaja hidangan daripada masakan ala Barat sehinggalah ke pelbagai masakan Melayu asli, semuanya menarik serta menyelerakan. Paling wajib dan mesti dicuba sudah semestinya lamb shank kurma yang dagingnya begitu lembut. Itu belum lagi kuahnya yang cukup serba serbi rempahnya.
Saya pasti anda tidak menyesal memesan menu yang berharga RM78 ini, apatah lagi jika anda penggemar daging kambing.
Menu ini menjadi lebih lengkap sekiranya dimakan bersama nasi ulam untuk memberikan kombinasi rasa yang begitu menarik. Apatah lagi semua ulam yang digunakan segar.
Nasi ulam berharga RM9 ini juga sudah cukup enak sekiranya dimakan begitu saja walaupun tanpa digandingkan bersama lauk- pauk lain.
Bagaimanapun, sudah pasti tidak lengkap kalau datang ke restoran ini tanpa memesan makanan lain terutama kerabu yang pada saya menjadi menu paling wajib dicuba.
Menu kerabu di sini memang amat jarang dijumpai lebih-lebih lagi di restoran sekitar ibu negara. Kalau ada pun mungkin kerabu yang sinonim dengan Thailand dan sudah menjadi kebiasaan.
Di Irama Dining Kuala Lumpur terdapat tiga jenis kerabu iaitu kerabu pucuk paku kerang, kerabu kacang botol sotong dan kerabu mangga ikan bilis.
Bagi pengunjung yang mahukan sumber protein tambahan dalam hidangan, anda boleh saja memesan menu pais ikan siakap bakar dan ayam percik. Keenakan pais ikan yang diperap dengan kunyit dan dibalut bersama daun pisang serta dibakar tidak dapat disangkal. Paling sedap dimakan bersama dengan air asam kerisik.
Adakalanya saya sendiri bagaikan terasa seperti berada di kampung halaman apabila menikmati semua menu yang dihidangkan. Kalau anda mahukan lebih lagi suasana dan rasa seperti di kampung halaman, ada baiknya memesan menu pulut rendang kelapa bersama rendang kerang yang berharga RM28 ini.
Menu ini tidak seperti kelaziman apabila kebiasaannya dinikmati bersama pulut dan kelapa semata-mata, kali ini kerang menjadi lauk pada menu ini. Dengan rasa kelembutan pulut dan inti sambal kelapa yang tidak pedas serta dicicah rendang kerang, menu ini sangat berbaloi lebih-lebih lagi sementara menanti hidangan utama sampai.
Untuk pencuci mulut pula, terdapat lima pilihan iaitu bubur somsom, serawa durian, serawa pisang, churros dan banana roll caramel.
Dalam pada itu, pemilik bersama Suhana Shahidan berkata, semua menu di Irama Dining Kuala Lumpur ini tidak memfokuskan kepada masakan negeri tertentu sahaja, sebaliknya melibatkan hampir semua negeri.
“Kami mahu memberi peluang kepada orang ramai untuk menikmati makanan asli Melayu yang jarang didapati dengan rasa keenakan tersendiri pada harga berpatutan,” terangnya.
Restoran yang terletak di No 66-68, Lot 2, Lorong Raja Chulan, Kuala Lumpur ini dibuka setiap hari kecuali Isnin dari 12 tengah hari sehingga 10 malam manakala Jumaat sehingga Ahad dari pukul 12 tengah hari sehingga pukul 11 malam. – Mingguan Malaysia
Masakan Melayu klasik ada di Irama Dining Kuala Lumpur
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
- 22 Januari 2023, 1:03 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am