Keindahan matahari terbenam di County’s Kopi - Utusan Malaysia

Keindahan matahari terbenam di County’s Kopi

BEBERAPA pelanggan menikmati suasana matahari terbenam sambil menikmati County's Kopi di kawasan pantai Kampung Kurung Tengar,. MINGGUAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENIKMATI keindahan matahari terbenam di Pantai Kurung Tengar, Kuala Perlis sambil bersantai di atas tikar atau kerusi menikmati secawan kopi. Suasana tersebut boleh dirasai apabila mengunjungi County’s Kopi di sini.
County’s Kopi yang mula beroperasi sejak November tahun lalu turut menjadi antara tarikan pengunjung ke Pantai Kurung Tengar terutamanya buat mereka yang menggemari minuman kopi dan menginginkan suasana santai bersama kenalan mahu pun keluarga.
Dengan menyajikan minuman kopi premium kepada para pelanggan, County’s Kopi yang diusahakan pasangan suami isteri, Fahmi Che Khosni, 38, dan Nurul Asyikin Mokhtar Kamal,31, menerima sambutan cukup hebat meskipun baru dua bulan beroperasi. Setiap petang, lokasi tersebut dipenuhi orang ramai yang turut membawa kerusi dan tikar sendiri.
Fahmi berkata, dia dan isterinya mendapat inspirasi menjalankan perniagaan itu selepas melihat beberapa pengusaha kopi di Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia yang menggunakan konsep sedemikian dalam perusahaan mereka.
“Kami membuat percubaan untuk menjual kopi premium menerusi van bergerak ini selepas melihat beberapa video pengusaha di luar negara memasarkan produk mereka dengan menyelitkan elemen keindahan alam semula jadi.
“Disebabkan itulah kami berdua cuba menjalankan perniagaan di Pantai Kurung Tengar ini yang sememangnya terkenal dengan keindahan matahari terbenam,” katanya.
Katanya lagi, dia memulakan perniagaan itu sejak November tahun lalu dan sehingga kini sambutan diterima amat menggalakkan khususnya pada cuti hujung minggu dan persekolahan.

Menurutnya, van itu juga pada mulanya digunakan untuk perkhidmatan tempahan ais krim sewaktu kenduri atau majlis tertentu namun operasi itu terpaksa dihentikan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Selepas PKP, kami kurang mendapat tempahan ais krim dan bermula dari situ kita beralih untuk terlibat dalam jualan kopi ini,” katanya.
Sementara itu, Nurul Asyikin berkata, County’s Kopi menyediakan lima jenis minuman kopi premium antaranya seperti latte, hazelnut latte, dolce latte, caramel macchiato dan mocha dengan harga serendah RM4 sehingga RM12.
Menurut Nurul Asyikin, pihaknya juga menyediakan minuman tanpa kafein dan makanan buat pengunjung untuk memberi lebih pilihan kepada orang ramai.
“Kami juga dapat menjual sekitar 50 hingga 100 cawan kopi pada setiap hari. Kami beroperasi setiap hari kecuali Khamis bermula pukul 5 sehingga 7.30 petang, Walaupun hanya beroperasi dua jam, sambutan diterima daripada pelanggan amat baik,” katanya
Di samping itu, Nurul Asyikin berkata, pihaknya turut mendapat bimbingan daripada Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang menyediakan kursus dan memberi bantuan kemudahan mesin kopi elektrik bagi menjalankan perniagaan itu.
Tambahnya, dia dan suami turut merancang menambah kemudahan di kawasan itu dan menyediakan permainan tradisional.
“Pengunjung boleh meluangkan masa bermain congkak, batu seremban dan beberapa lagi sambil menghirup kopi serta menikmati keindahan matahari terbenam,” katanya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya