Yarl pertaruh hidangan jalanan Sri Lanka - Utusan Malaysia

Yarl pertaruh hidangan jalanan Sri Lanka

PENYELIA Afika Sharmila bersama hidangan yang terdapat di Yarl.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA pendapat mengatakan untuk mengenali masyarakat sesebuah negara, anda perlu menikmati makanan jalanan mereka terlebih dahulu atau dalam slanganya street food.
Tapi isunya, ada segelintir yang bimbangkan tahap kebersihan atau mungkin bahan digunakan tidak menepati selera sehingga menyebabkan sakit perut atau rasa tidak selesa.
Namun tidak di Yarl. Restoran yang menyediakan pelbagai hidangan jalanan Sri Lanka ini memberikan pengalaman baharu bagi mereka yang tercari-cari citarasa asli dari negara tersebut dengan harga berpatutan.
Antara makanan wajib dicuba di sini sudah semesti idiyappam kotthu iaitu putu mayam yang dipotong dan digoreng dengan pelbagai campuran. Rupa dan rasa mirip seperti bihun goreng.
Selain itu, pelanggan mempunyai pilihan sama ada mahu menikmati putu mayam, idli atau roti sebagai bahan utama.
Apa yang menarik, hidangan ini mempunyai pelbagai pilihan seperti ayam, kambing dan untuk vegetarian dengan harga ditawarkan antara RM9.50 sehingga RM28.
Selain kotthu, hidangan wajib dicuba di sini adalah Yarl tosai yang dimakan bersama sambal kelapa (bahasa Sri Lanka disebut sambol), kuah dal atau idi sambal tomato.
Tosai di sini begitu istimewa kerana ia diadun bersama rempah premium Sri Lanka. Mungkin disebabkan itu juga tosai ini berwarna kuning menyala.
Bagi mereka yang mahukan hidangan ringan dan tidak terlalu berat, Yarl turut mempunyai beberapa menu seperti chicken roti roll dan roll mutton yang berharga RM5.
Di samping itu, pengunjung juga wajib menikmati sweet appom berharga RM5.50 dan digandingkan bersama teh marsala Yarl.
Kelembutan menu ini diperbuat daripada beras yang ditapai, santan dan taburan gula melaka tidak dapat disangkal.
Berani saya katakan pengunjung akan menambah pesan hidangan ini dan apalah nikmatnya kalau sekadar menikmati satu sweet appom sahaja.
Selain menu yang disebutkan, Yarl turut menyediakan hidangan untuk mereka yang mengamalkan diet berasaskan tumbuhan, iaitu set yarl tally.
Set nasi ini dihidangkan bersama ubi bit merah, kari kacang kuda dan jeruk acar halia.
Bagaimanapun anda perlu berhati-hati menikmati kari kacang kuda ini kerana ia agak ketagih walaupun sedikit pedas (pada saya) dan tidak mustahil anda akan memesannya sekali lagi.
Jadi lupakan seketika pelan diet sekiranya bertandang ke sini.
Dalam pada itu, Pengurus Jenama Halicia Hiranthi Mathew berkata, restoran Yarl lebih memberi fokus kepada hidangan citarasa dari Jaffna iaitu sebuah daerah yang terletak di utara Sri Lanka.
Menurutnya, Yarl juga mempunyai sejarah tersendiri sebelum diambil alih syarikat yang sehingga kini mengusahakan jenama ini.
“Yarl bermula apabila sekumpulan pelarian Sri Lanka yang datang ke Malaysia dan membuka kedai makan.
“Kemudian apabila mereka berhijrah ke negara lain, Yarl kemudiannya dijual kepada syarikat Cinnamon Group yang mengusahakannya sehingga kini,” jelasnya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya