Nyaman menjamu selera seperti zaman silam - Utusan Malaysia

Nyaman menjamu selera seperti zaman silam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EMPAT puluh minit memandu dari Alor Setar, Kedah nyata berbaloi tatkala kaki mencecah laman Restoran Kampung Adat Seri Banian di Kampung Bendang Bukit, Kubur Panjang dekat Pendang ini.

Karakter perkampungan yang membawa pengunjung kembali ke zaman silam itu tersembunyi di sebalik pokok-pokok getah, menjadikan ia unik. Bersesuaian dengan atmosferanya, sajiannya juga istimewa yang mengembalikan nostalgia pengunjung ke zaman dahulu iaitu sesuatu yang jarang ditemukan di negeri ini.

Menjamu selera dengan menu unik hasil resepi serumpun di nusantara ini sambil berlatarkan perkampungan tradisional nyata memberi pengalaman baharu. Jadi tidak hairan restoran yang wujud sejak 2020 itu menjadi pilihan pemburu makanan yang gemarkan keunikan makanan dan suasananya dalam kalangan penduduk negeri ini malah dari luar termasuk pelancong asing.

Restoran yang terletak di kawasan pedalaman Pendang ini memberi fokus kepada kekayaan kulinari dari Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina.

Pelbagai menu makanan ditawarkan di restoran ini yang kedengaran unik dan klasiknya seperti kuih ang phidra dan sate anta brahi yang juga merupakan menu kegemaran pengunjung.

Terdapat lebih 70 menu di restoran ini yang disediakan dalam bentuk ala carte dan set yang juga mempunyai nama istimewa seperti seperti Ibu Jemaliah, Nyi Mastura, Bak Jyah Damar Huri, Seri Banian dan Seri Kemasih Patema antara 10 set hidangan yang menjadi pilihan.

Setiap set lengkap dengan hidangan pembuka selera, menu utama sehingga pencuci mulut terdiri daripada kuih muih tradisional.

Menurut pemilik restoran ini, Dil Akbar Jaafar, 42, atau Akhi, yang juga cef, nama-nama klasik itu menyerlahkan lagi ciri-ciri nostalgia zaman silam selain pemandangan rumah-rumah adat yang dibina di kawasan itu.

Katanya, antara set hidangan yang menjadi kegemaran adalah Set Ibu Jemaliah dan Nyi Mastura.

“Set Ibu Jemaliah misalannya untuk empat orang yang menunya nasi putih, ikan temenung sambal Jamliah, masak lemak puspa pintar iaitu ayam, daging bakar, kuih ang phidra, ulam ulaman dan jus. Sementara Nyi Mastura pula yang mempunyai 12 menu untuk lapan orang,” katanya ketika ditemui di restoran itu baru-baru ini.

Tambahnya, hidangan lain yang menjadi kegemaran adalah sate anta brahi daripada daging ayam, lembu dan kambing.

“Keistimewaan sate ini adalah daging diperap semalaman dengan 15 jenis rempah ratus yang dicicah dengan kuah resipi kami sendiri bukan seperti sate lain. Semua masakan di sini kami olah dengan menggabungkan resipi dari empat negara ini.

“Alhamdulillah restoran ini mendapat sambutan menggalakkan termasuk dalam kalangan pelancong luar negara,” katanya.

Selain menjamu selera, persekitaran ala perkampungan zaman silam menjanjikan panorama indah dan tenang untuk pengunjung apatah lagi pekerja di sini akan menyambut pengunjung dengan busana tradisional.

Pengunjung juga berpeluang mencuba pelbagai aktiviti lain di sini termasuk menunggang kuda dan memanah. Ketika hujung minggu, persembahan kebudayaan turut diadakan seperti pertunjukan silat, tarian dan nyanyian tradisional.

“Kami buka setiap hari pada cuti sekolah. Kami juga menggalakkan pelanggan membuat tempahan,” katanya.

Restoran Kampung Adat Seri Banian
Lokasi:
Kampung Bendang Bukit, Kubur Panjang, Pendang, Kedah
Waktu operasi:
12 tengah hari – 7 malam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya