Daging kuda dan menu eksotik Kazakhstan di Astana - Utusan Malaysia

Daging kuda dan menu eksotik Kazakhstan di Astana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUT saja nasi Arab ramai yang tahu lebih-lebih lagi sudah banyak restoran Timur Tengah di ibu negara.
Akan tetapi saya pasti belum ramai yang sudah mencuba penangan hidangan negara Kazakhstan.
Tanpa perlu berbelanja mahal semata-mata ke negara tersebut untuk menikmati hidangan ini, makanan Kazakhstan boleh dinikmati di ibu kota. Datang saja ke Restoran Astana di Seri Petaling, Kuala Lumpur, ia menyajikan pelbagai keunikan makanan dengan cita rasa autentik serta eksotik di sini.
Antaranya sudah semestinya menu Beshbarmak yang bermaksud ‘lima jari’ dalam bahasa Kazakhstan. Apa yang menarik, hidangan tradisional ini adalah campuran lidah lembu, pasta dan juga kepingan daging kuda.
Anda tidak akan menyesal sekiranya mencuba menu ini lebih-lebih lagi apabila menikmati kelembutan daging termasuklah daging kuda.
Jika dilihat, menu ini seakan-akan sup dan semua campuran daging tersebut direbus bersama beberapa bahan seperti bawang putih, lada hitam dan sedikit garam.
Semua daging ini akan dimakan bersama pasta yang dicampurkan bersama dan hidangan ini boleh dimakan antara empat ke lima orang.
Harga Beshbarmak adalah antara RM45 untuk seorang sehingga RM250 untuk hidangan yang boleh dimakan seramai lima orang.
Namun, tidak lengkap sekiranya menikmati Beshbarmak tanpa nasi yang merupakan makanan wajib terutama bagi masyarakat Asia.

Plov iaitu nasi yang penuh berwarna warni ini wajib dipesan. Cuma terpulang kepada anda sama ada memilih daging lembu, kuda atau lidah lembu untuk dijadikan lauk.
Pada saya, Plov mempunyai rasa seakan-akan nasi briyani, tetapi sedikit berminyak dengan dimasukkan pelbagai rempah, lobak merah, kacang dan telur rebus.
Menu ini berharga RM17 daging lembu dan RM 29 daging kuda manakala lidah lembu pula berharga RM25.
Selain dua hidangan tadi, pengunjung juga wajib mencuba Shashlyk iaitu kebab ala Kazakhstan.
Kebab ini tidak mengecewakan kerana ia kebab terbaik pernah saya cuba dengan rasa rempah pada keseluruhan daging di samping kelembutannya dan tidak terlalu kering walaupun dipanggang selama beberapa minit.
Saya turut difahamkan, kebab ini akan diperap dalam tempoh tidak lebih dua jam bagi mengelakkan perubahan rasa pada tekstur daging.Pada saya, adalah lebih baik sekiranya anda memesan Shashlyk yang digabungkan bersama Khacapuri iaitu roti khas resipi Georgia.
Menu ini merupakan roti yang seakan-akan naan tetapi mempunyai keju yang dibuat sendiri didalamnya.
Harga Khacapuri adalah RM25 dan sesuai untuk hidangan antara dua ke tiga orang.
Hidangan pencuci mulut di sini seperti Anechka, Medovik dan Oreshki juga tidak mengecewakan. Malah anda boleh menikmati teh diimport dari Kazakhstan yang warnanya seakan-akan teh bunga kekwa dan mengandungi campuran lapan herba.
Dalam pada itu, pemilik Restoran Astana, Daniyar Yunusmetov berkata, selain menyajikan hidangan berkualiti, restoran miliknya juga menggunakan bahan halal dan disediakan oleh chef beragama Islam.

Restoran Astana
Lokasi: A-01-10, Endah Promenade, Jalan 1/149e, Bandar Baru Sri Petaling, Kuala Lumpur
Waktu operasi: Dibuka setiap hari bermula 11 pagi sehingga 10 malam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya