Rubiyan taruhan cita rasa Syria di Leen’s - Utusan Malaysia

Rubiyan taruhan cita rasa Syria di Leen’s

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAKANAN Arab sudah semakin diterima rakyat di sini dengan semakin banyak restoran makanan dari benua tersebut di negara ini.
Ada pelbagai juadah dari negara berkenaan yang cukup terkenal dengan rempah ratusnya seperti nasi kabsah, nasi mandy, Hummus atau kebab.
Bagaimanapun, sekiranya inginkan sedikit kelainan di Leen’s Middle East Kitchen, pengunjung boleh lari daripada tipikal makanan Arab yang ada di negara ini.
Syaratnya anda perlu memesan menu Rubiyan dan percayalah kalau sebelum ini udang masak lemak atau sambal udang menjadi menu utama, selepas ini tidak lagi.
Menu udang harimau ala Arab ini sememangnya sedap selepas dipanggang dan dicampur dengan adunan dakkous (sos tomato Arab), minyak paprika dan minyak daun basil.
Kelembutan udang tidak dapat disangkal dan apa yang paling penting menu ini menyihatkan serta sesuai untuk dimasukkan dalam senarai menu diet anda.
Selain Rubiyan, pengunjung juga perlu merasai keenakan nasi Syria iaitu Crispy Syrian Rice. Nasi ini dimakan bersama daging ayam, ubi bit merah, sos harissa dan toum (sos bawang putih ala Syria).
Yang boleh saya katakan, menikmati hidangan ini sama seperti menikmati nasi goreng tetapi dengan cara berbeza di samping rangup.
Malah nasi ini dimasak dengan 12 jenis rempah ratus dan anda perlu mencuba bagaimana penangan nasi yang dimasak dengan sebegitu banyak rempahnya ini.
Selain dua hidangan itu, pengunjung juga perlu menikmati Mariah Pide. Menu ini mungkin boleh didapati di kebanyakan restoran Arab lain, tetapi rasa di sini sememangnya amat berbeza dengan kelembutan tersendiri.
Ini kerana roti yang dibakar itu, ditaburkan buah delima dengan daging kambing yang dikisar.
Menu lain yang wajib dicuba termasuk Smoked Hummus dan Haloumi Fatush Salad.
Di samping menyediakan hidangan lazat, restoran ini turut menampilkan suasana santai untuk bersama keluarga.
Chef yang juga pemilik bersama restoran ini, Mohammad Alzalek memberitahu, semua hidangan dan menu di sini menggunakan bahan segar dan berkualiti tinggi dengan mengikut cita rasa asli dari Syria.
“Selain itu, kita turut mencampurkan bahan dan menggunakan konsep serta kaedah dari negara lain. Sebagai contoh Crispy Syrian Rice.
“Anda boleh melihat bagaimana kami hidangkan seakan-akan konsep di Jepun namun beras dan bahan menggunakan gabungan 12 rempah terbaik.
“Kami juga menggunakan banyak teknik dan bukan sekadar perap serta masukkan ayam dalam ketuhar lalu terus menghidangkan kepada pelanggan,” terangnya.

Leen’s Middle East Kitchen
Lokasi: No. 136A, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur
Waktu operasi: Dari pukul 6 sehingga pukul 11 malam
Makanan wajib cuba: Rubiyan dan Crispy Syrian Rice.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya