LAKSA dan ikan, gabungannya memang berpisah tiada. Namun dengan inovasi baharu, laksa kini sudah pun diberi sentuhan lain daripada yang lain.
Paling menarik, sentuhan terbaharu ini digabungkan pula dengan citarasa mewah ala Barat tanpa mengetepikan rasa tempatannya.
Laksa udang kara atau dikenali sebagai The Lobster Laksa ini boleh didapati di Burgerandlobster, di KLCC.
Menu laksa yang dicampur udang kara ini sememangnya unik, tidak pedas, berlemak dan ada rasa sedikit masam dengan rasa tersendiri.
Namun, hidangan ini turut didatangkan sekali dengan sambal untuk mereka yang gilakan kepedasan. Terpulanglah tahap kepedasan yang anda inginkan.
Malah rasa hidangan ini eksklusif dan berbeza serta ada keunikan tersendiri hasil kombinasi pelbagai bahan termasuk udang kara, tauhu keras, hirisan timun serta pelbagai rempah lain.
Menurut Sous Chef, Mohd. Safazly Md. Yusof atau dikenali Ayie, menu laksa tersebut diubah suai sebanyak 10 kali untuk mendapatkan cita rasa terbaik yang betul-betul sedap sebelum diketengahkan kepada pelanggan.
Justeru, dengan harga RM90 semangkuk, menu ini ada nilai tersendiri dan berani saya katakan ia sangat berbaloi.
Mahal? Apa salahnya sesekali anda beri penghargaan pada diri sendiri dengan menikmati hidangan sebegini selepas bekerja sepanjang hari?
Selain menu wajib ini, hidangan The Original Lobster tidak kurang hebatnya.
Udang kara dimasak secara separuh dibakar dan dikukus dengan adunan mentega ini dimakan bersama sos lemon garlic butter (LGB) yang terkenal di seluruh dunia.
Dengan harga RM220, menu ini sangat berbaloi dan berpatutan sebagaimana di tempat lain yang menghidangkan makanan laut.
Bagi mereka yang tidak gemarkan makanan laut, anda boleh mencuba menu seperti Texan Waffle Chicken.
Hidangan burger ini mempunyai rasa sedikit manis disebabkan waffle digunakan sebagai pengganti roti.
Di samping itu, anda juga boleh mencuba The Original Lobster Roll berharga RM130 untuk mereka yang tidak mahukan hidangan berat.
Apa yang paling penting, semua hidangan di sini menggunakan produk halal dan bahan segar berkualiti tinggi.
Antaranya, termasuklah udang kara yang diimport dari Nova Scotia, Kanada dan daging yang diimport dari Nebraska, Amerika Syarikat.
Burgerand
lobster
Lokasi: Lot G46, KLCC
Menu popular: Laksa udang kara
Waktu Operasi: Dibuka setiap hari
dari pukul 4 petang sehingga 10 malam pada hari biasa manakala
12.30 tengah hari sehingga pukul
2.30 petang serta 4.30 petang
hingga 10 malam pada hari minggu.