AROMA ikan bakar dan pelbagai lauk pauk tradisional pasti akan membangkitkan selera pengunjung yang merentasi Jalan Nara, Pasir Puteh, Kelantan.
Singgah di tengah bandar Pasir Puteh tentunya tidak menghampakan pengunjung kerana Restoran Aroma Ikan Bakar 3 ini menyajikan lebih 40 sayuran dan gulai kampung untuk dinikmati.
Restoran milik anak muda yang meneruskan legasi Mok Cik Nab peniaga sohor lauk pauk di Pasar Lama, Pasir Puteh, memang cukup popular.
Bermula dengan dua cawangan Restoran Aroma Ikan Bakar di Presint 15 dan di Pinggiran Putra di Putrajaya yang diasaskan anak Mok Cik Nab, Mohamad Asri Mohamad, 60, sejak 2012, cawangan ketiga dibuka pula di Pasir Puteh sejak dua tahun lalu.
Cucu Mok Cik Nab yang juga Pengarah Urusan Aroma Ikan Bakar, Mohamad Fakhrul Arif Mohd. Asri, 32, berkata, sajian di restoran itu berkonsepkan masakan ala kampung berasaskan resipi ibunya, Nor Asiah Yusof bersama beberapa tukang masak terlatih.
Menurutnya, selain pelbagai jenis ikan bakar, 50 lagi lauk pilihan Selera Mok Cik Nab dan aneka sup turut dihidangkan seawal pukul 10 pagi.
Dia memberitahu, restoran itu mula dikunjungi pada pukul 11 pagi dengan waktu puncaknya sekitar pukul 12 tengah hari hingga pukul 2 petang.
“Kami turut menawarkan set menu hidangan iaitu set A, seekor ikan siakap bakar, sup pilihan, daging merah, ayam masak kicap, sayur lemak, ulam budu, sira labu dan empat pinggan nasi dengan harga mampu bayar RM50.
“Paling murah set D iaitu ikan kembung atau selar bakar kunyit, sayur lemak, ulam budu, lauk berasaskan ayam atau daging bersama dua pinggan nasi dengan harga RM20, “ katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di restoran tersebut, baru-baru ini.
Menurut, Mohamad Fakrul Arif, dua cawangan di Putrajaya adalah medan selera yang menjadi ‘pengubat rindu’ perantau Kelantan untuk menikmati masakan dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Menurutnya, cawangan di Pasir Puteh dikendalikan tiga tukang masak, dua pembantu dan tujuh pekerja am.
“Kita juga menyediakan sira labu, sayur siput sedut sawah, 15 aneka masakan sayuran, pelbagai kerabu, ikan pari bakar, talapia, siakap, cencaru dan selar yang mendapat permintaan yang tinggi.
“Juadah siap terhidang di atas meja khas, pengunjung hanya perlu memilih apa jenis lauk yang mereka ingin nikmati,”katanya.
Menurutnya, Restoran Aroma Ikan Bakar Selera Mok Cik Nab juga bagaikan medan selera Keluarga Malaysia kerana ia dikunjungi pelbagai bangsa termasuk pelancong luar negara.
Mohamad Fakhrul Arif berkata, restoran yang berkonsepkan layan diri itu juga menjadi tempat persinggahan pengunjung dari Pahang dan Terengganu kerana lokasinya terletak di laluan utama bandar Pasir Puteh.
“Setiap minggu kita menerima pelancong yang menaiki bas dari Pantai Barat dan Selatan yang singgah makan sebelum mereka bertolak ke kawasan bebas cukai Pengkalan Kubur dan Rantau Panjang,” jelasnya.
Aroma Ikan Bakar
Lokasi restoran: Jalan Nara, Pasir Puteh, Kelantan
Waktu Operasi: 10 pagi hingga 5 petang
Waktu puncak: 12 tengah hari hingga 2 petang
Setiap hari kecuali Ahad