SAYA tidak pasti berapa banyak kedai makan yang menjual lauk pauk kampung dengan cita rasa asli sama ada di ibu negara atau sekitar Selangor.
Kalau ada pun mungkin sekadar lauk seperti gulai lemak, kari atau beberapa jenis gulai lain yang sudah biasa kedengaran.
Namun untuk mereka yang mengidam masakan asli Kedah, anda boleh berkunjung ke Restoran Abahang yang terletak di Shah Alam, Selangor.
Tidak perlu pergi jauh sehingga ke negeri Jelapang Padi semata-mata untuk memenuhi selera yang mahukan hidangan seumpama ini.
Bagi mereka yang berhajat ke mari, wajib mencuba beberapa jenis masakan kampung terutama gulai pisang tumis darat yang memang susah di cari di kebanyakan restoran.
Dengan rasa lemak dan pisangnya yang empuk, saya pasti pengunjung akan menambah pesan hidangan ini lebih-lebih lagi sekiranya dimakan beramai-ramai.
Selain itu, apa yang paling penting gulainya tidaklah terlalu pekat atau cair dan sesedap rasa untuk mereka yang gemar menghirup kuahnya.
Harga untuk sepinggan lauk gulai pisang ini antara RM5 ke RM7 sepinggan dan boleh dinikmati untuk dua orang.
Selain gulai pisang, kari kambing di sini juga mampu memikat selera sesiapa sahaja yang gemarkan hidangan seperti ini.
Rasa dagingnya tidak berbau hamis dan lembut di samping rempah yang digunakan daripada resipi adunan sendiri yang tidak terdapat di kedai-kedai lain.
Paling menarik dengan hanya RM10, pengunjung boleh memesan sepinggan gulai kambing untuk hidangan dua orang di restoran ini.
Pesan saya cuma satu. Sekiranya mengidam untuk menikmati gulai kambing ini, adalah lebih baik sekiranya datang lebih awal antara pukul 11 pagi atau 12 tengah hari kerana lauk ini antara menu laku keras di sini.
Bagaimana pula sekiranya ada yang tidak sukakan daging kambing? Tidak mengapa kerana di restoran ini turut menyediakan gulai ikan Termenung dan gulai ikan Sembilang.
Kedua-dua gulai ini juga boleh dimakan untuk dua atau tiga orang dengan harga antara RM10 sehingga RM15. Jadi, berbaloi bukan?
Anda juga boleh makan secara berhidang dan memesan setiap satu daripada lauk yang saya nyatakan tadi serta dinikmati bersama sekiranya datang dalam berkumpulan.
Menurut pemiliknya Nabisha Ibrahim, semua masakan dan rempah tersebut dihasilkan daripada teknik diajar ibu mertuanya yang berasal dari Bukit Merah, Perak.
“Saya memulakan perniagaan pada 2016 dengan membuat mee kuning dan menjalankan pelbagai latihan terutama berkaitan penghasilan rempah ratus serta makanan lain.
“Selepas itu, barulah saya serius dan memberi fokus kepada perniagaan restoran ini,” jelasnya.
Restoran Abahang
Lokasi: 64, Jalan Selasih H U12/H, Cahaya Alam, Shah Alam, Selangor
Waktu operasi: Dibuka setiap hari kecuali Isnin dari pukul 7 pagi sehingga pukul 4 petang.
Menu menarik: Gulai pisang dan kari kambing.