Aroma nasi, daging buluh membuka selera D’Atap - Utusan Malaysia

Aroma nasi, daging buluh membuka selera D’Atap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANDAI berkunjung ke Pendang, Kedah dan ingin menikmati sesuatu yang berbeza untuk santapan tengah hari, Restoran D’Atap ini barangkali jawapannya.
Sajian istimewa di restoran itu adalah nasi yang ditanak dalam buluh iaitu masakan tradisional masyarakat di kawasan pedalaman terutama Orang Asli di Kedah.
Bukan sekadar nasi, malah D’Atap turut menyediakan menu daging ayam, lembu dan rusa yang dimasak dalam buluh.
Selain membangkitkan aura zaman dulu-dulu, masakan dalam buluh itu tidak dapat dinafikan dapat membangkitkan aroma wangi dan manis nasi mahupun daging.
Menurut pemilik Restoran D’Atap, Maria Osman, 42, proses memasak nasi dalam buluh itu sama seperti lemang cuma tanpa menggunakan santan.
“Beras yang dicuci akan diletak dalam buluh yang dilapiskan dengan daun pisang dan dikukus selama 45 minit. Istimewa nasi buluh ini adalah wangi dan manis kerana aroma buluh serta daun pisang itu.
“Aroma itu tidak dinafikan membangkitkan selera apatah lagi ketika dihidangkan dengan lauk pauk seperti ayam, daging lembu atau rusa,” katanya ketika ditemui di restoran itu baru-baru ini.
Kata Maria, berbeza pula dengan cara memasak daging dalam buluh yang menggunakan teknik membakar dalam tong dram.
“Daging ini akan ditumis separuh masak dengan ramuan rempah tradisi D’Atap sebelum dibakar dalam tong dram seperti membakar lemang selama sejam.
“Ia untuk membolehkan daging itu sebati dengan rempah dan aroma buluh muda yang digunakan,” jelasnya.
Pelanggan boleh memilih untuk menikmati set nasi dan daging buluh berkenaan yang turut dihidangkan bersama sambal belacan dan ulam yang dinamakan set Nasi Daging Bunian atau lauk pauk lain yang turut disediakan di restoran itu.
Maria memberitahu, sajian Set Nasi Daging Bunian itu semakin mendapat tempat di hati pelanggannya terutama dalam kalangan mereka dari bandar yang ingin mencuba masakan unik.
“Setiap hari kami berjaya menjual sehingga 100 batang nasi buluh dan permintaan meningkat sekali ganda apabila musim cuti sekolah atau perayaan apabila banyak perantau kembali ke kampung. Set itu dijual dengan harga RM29 hingga RM39,” katanya.
Selain menu dalam buluh, D’Atap turut menyediakan pelbagai menu lauk pauk masakan kampung yang cukup popular di negeri ini.
Kata Maria, terdapat lebih 40 jenis masakan di restoran tersebut termasuk masak lemak siput sedut, siakap bakar, gulai daging batang pisang, masak lemak ikan patin dan gulai lemak nangka.
“Banyak pelanggan datang ke sini sebab mereka teringin nak rasa masakan yang unik sesuatu yang asli seolah-olah kembali ke zaman silam. Kami berasa berbangga kerana dapat mengekalkan khazanah masakan tradisi ini,” katanya. – Mingguan Malaysia

RESTORAN D’ATAP
Lokasi: Jalan Pendang-Tanah Merah, Pendang Kedah
Waktu Operasi:
10 pagi – 3 petang

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya