Hidangan Barat di negara ini tidak terhad kepada stik, barbeku, ayam goreng, kentang goreng dan coleslaw saja kerana rakyat Malaysia mempunyai bermacam-macam cara unik untuk menikmatinya.
Lebih menarik, kita boleh menikmati hidangan tersebut berkonsepkan dekorasi mewah tetapi dengan harga makanan berpatutan.
ATSKY merupakan tempat makan yang paling sempurna jika anda inginkan suasana luar biasa untuk menikmati makanan anda.
Dengan pemandangan indah, ATSKY merupakan restoran atas bumbung (rooftop) yang cukup unik untuk makan malam romantis bersama keluarga.
Menurut Pengasas ATSKY, Ali Ikhwan Mohd. Noordin, pihaknya menjanjikan keunikan dan keenakan hidangan Barat yang tidak mengecewakan dan bagi penggemar masakan berkenaan mereka akan teruja dengan saiz hidangan ditawarkan.
“Keistimewaan hidangan kami bukan saja terletak pada saiz hidangan besar dan gaya penyediaan kreatif, tetapi turut dijual pada harga berpatutan.
“Ini menyebabkan kafe ini sering menjadi tumpuan orang muda selain golongan berkeluarga. Rata-rata pelanggan selesa menjamu selera di ruangan yang mengetengahkan konsep santai dengan sajian makanan
merangkumi masakan Barat dan tempatan.
“Menu ditawarkan bermula dengan harga RM10 ke atas menggabungkan selera Barat dan Timur,” katanya.
Tambah Ali Ikhwan antara menu istimewa di ATSKY adalah daging Youyu setanding daging wagyu.
“Daging Wagyu memang terkenal sebagai daging terbaik dan disukai ramai. Daging yang berkualiti premium ini menjadi kegemaran bagi peminat hidangan stik dan kebiasaannya harga sepinggan pun boleh mencecah ratusan ringgit.
“Namun, di sini pelanggan boleh menikmati daging premium dengan harga mampu milik. Saya boleh katakan, pelanggan akan menikmati menu di restoran mewah tetapi dengan harga mamak,” ujarnya yang kini memiliki dua cawangan restoran ATSKY.
Beliau berkata, stik daging lembu ATSKY dimasak dengan sempurna dan sangat lembut. Pelanggan boleh memilih berat daging bermula daripada 150 gram (g), 200g atau 250g. Set daging ini dihidang bersama kentang dikisar halus dan sos cendawan yang sedap.
Selain itu, penggemar daging kambing boleh mencuba hidangan Lamb Chop yang menggunakan daging segar dihidang bersama kentang kisar, salad sampingan dan sos lada hitam yang lazat.
“Di sini terdapat juga hidangan pasta seperti spageti bolognese, carbonara, aglio olio, marinara dan lasagna. Misalnya marinara makanan laut dihidangkan bersama ketam dan udang segar sesuai sebagai hidangan utama. Hidangan ini juga sesuai untuk kanak-kanak yang gemar makan pasta. ATSKY turut menghidangkan pelbagai jenis pizza,” katanya.
Tidak hanya mengetengahkan hidangan Barat, ATSKY juga mempunyai menu nasi bersama lauk seperti ayam masak masam manis, daging dan makanan laut masak telur masin (salted egg).
Tambah Ali Ikhwan, restoran ini terkenal dengan hidangan wafel. Sudah tentu orang ramai menggemari wafel yang disiram coklat, krim putar dan buah-buahan segar.
“Wafel merupakan menu yang paling mendapat sambutan. Pun begitu, kami juga mempunyai hidangan ringan atau pencuci mulut tempatan seperti cucur udang, keropok lekor, roti jala dan tauhu bakar,” katanya.
Dalam pada itu, Ali Ikhwan yang mempunyai pelbagai pengalaman dalam perniagaan termasuk pakaian dan makanan mengakui tidak mudah membuka restoran ketika pandemik melanda negara.
Ceritanya lanjut, restoran ATSKY pertama yang terletak di atas bumbung bangunan Dataran Cascades, Kota Damansara ini dibuka sejak 1 Ogos 2020 lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
HALANGAN
Ali Ikhwan mengakui sepanjang PKP, restorannya turut berdepan dengan pelbagai cabaran tetapi dia tidak mahu itu menjadi halangan. Ketika itu, Ali Ikhwan tidak mahu memberhentikan pekerja-pekerjanya, justeru dia mempromosikan perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah.
“Selepas tempoh PKP, ramai yang lebih gemar makan di restoran bersama keluarga atau sahabat handai. Selain Kota Damansara, kami mempunyai satu lagi restoran atas bumbung yang terletak di TREC, Jalan Tun Razak.
“Asalnya, kedua-dua restoran ini adalah sebuah kelab malam. Selepas melakukan samak, saya ubah suai menjadi restoran makanan halal,” terangnya. – MINGGUAN MALAYSIA