PERTAMA kali masuk ke restoran ini seakan-akan berada di satu tempat eksklusif.
Pelanggan yang datang dapat merasakan ‘vibe’ (getaran) tersendiri, lebih-lebih dengan dengan susun atur meja dan kerusi serta konsep hiasan dalaman tersendiri.
Namun, pelanggan jangan gentar untuk menikmati hidangan di restoran yang masakannya ‘mahal’ tetapi harga dikenakan pada kadar berpatutan.
Sebagai contoh double beef burger mempunyai rasa yang sudah semestinya tidak sama dengan restoran makanan segera lain.
Mengapa saya katakan begitu? Pertama setiap gigitan patty dagingnya lembut selain tidak terlalu hancur serta ada hirisan yang boleh dikunyah serta memberikan rasa jus tersendiri.
Selain itu, daging dimasak sempurna dan tidaklah terlalu kering serta didatangkan bersama keju dan kentang.
Paling menarik, hidangan ini bersaiz besar dan boleh dimakan dua orang terutama untuk kanak-kanak.Bagi saya dengan harga berpatutan, hidangan ini amat berbaloi untuk mereka yang mahu menikmati burger premium. Selain itu, di Giggles and Geeks, pengunjung juga boleh mencuba lasagna di sini khususnya bagi pencinta makanan berasaskan keju.
Akan tetapi sedikit rugi sekiranya datang semata-mata mahu menikmati lasagna kerana ada banyak menu lain yang turut menarik dan istimewa.
Menu seperti lamb shank, pelbagai jenis spaghetti dan stik perlu dicuba di sini kerana tukang masaknya sememangnya mengadun ke semua menu dengan resipi tersendiri.
Sebagai contoh, lamb shank di sini dihidangkan bersama kentang putar dan roti serta jagung dan bukannya dimakan bersama nasi seperti kelazimannya.
Stew pekat dengan air rebusan kambing bersama rempah ratus memberi satu kelainan untuk peminat hidangan ini. Malah paling penting, pemilik restoran ini juga merupakan seorang tukang masak yang sudah semestinya mahu menjaga kualiti demi kepuasan pelanggan.
Menurut Abu Dzarrin Zainal Abidin, selain aspek kualiti, beliau juga menekankan konsep hospitaliti untuk setiap pengunjung.
“Saya bukan hanya mahu memastikan pelanggan yang datang berpuas hati, tetapi perlu ada elemen wow!
“Faktor kualiti bukan pada makanan semata-mata, sebaliknya, hospitaliti juga amat dititik beratkan dalam kalangan pekerja. Kita perlu masukkan nilai tambah perkhidmatan terbaik bukan sahaja daripada segi makanan semata-mata,” ujarnya.
Giggles and Geeks terletak di Bio-X Centre, Persiaran Cyberpoint Selatan, Cyber 8, Cyberjaya dibuka Isnin hingga Khamis dari pukul 11 pagi sehingga 10 malam manakala Jumaat sehingga Ahad bermula 11 pagi sehingga 11 malam.
Selain menghidangkan menu terbaik, pengunjung turut dihiburkan dengan nyanyian kumpulan buskers. – Mingguan Malaysia
Konsep Barat harga marhaen di Giggles and Geeks
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
- 25 September 2022, 1:03 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Keluarga lima maut serah pihak polis siasat kemalangan
24 Disember 2024, 8:59 pm
Macron umum Kabinet baharu kali keempat
24 Disember 2024, 8:42 pm
Pengurus Besar Perak FC umum lepas jawatan mulai 1 Januari
24 Disember 2024, 7:43 pm