HANYA ‘karnivor’ tahu kenikmatan sebenar setiap inci stik daging yang dihidangkan kepada mereka.
Bagi penggemar hidangan ini, mereka sudah semestinya akan mencari daging berkualiti terbaik untuk menjadi santapan terutama ketika waktu makan malam.
Harga bukanlah satu masalah bagi mereka yang menggemari daging. Paling penting kepuasan hati dan memenuhi cita rasa yang dicari.
Justeru, bagi sesiapa yang tidak kisah bayar lebih untuk menikmati rasa stik sebenar, anda boleh berkunjung ke Zende Restaurant, Hotel Seri Pacific di ibu negara.
Di sini, ada beberapa jenis hidangan patut dicuba. Paling terbaik sudah semestinya menu daging lembu wagyu yang cukup popular iaitu Wagyu Sirloin Japan.
Kelembutan daging ini memang tidak dapat disangkal lagi.
Ditambah berjus selepas dimasak secara medium, pengunjung pasti tidak menyesal untuk membayar lebih menikmati stik ini.
Selain itu, kombinasi tiga jenis sos iaitu Spear Mint Sauce, Mushroom Gravy dan Black Pepper Sauce memberi kepelbagaian rasa tambahan kepada daging itu.
Menu yang dihidangkan ini turut disertakan asparagus, cendawan, tomato dan kentang putar sebagai sumber karbohidrat.
Harga yang dikenakan untuk satu hidangan daging seberat 220 gram ini adalah RM650.
Selain itu, menu terbaik pada saya adalah Black Angus Ribeye seberat 340 gram yang diperap dengan rempah cajun.
Bagi saya, menikmati hidangan ini sudah cukup sempurna walaupun dimakan begitu sahaja tanpa sos pencicah.
Selain dua hidangan tersebut, hotel ini turut menyediakan menu lain berasaskan daging seperti Angus BBQ Short Rib, Angus Tomahawk dan Australian Lamb Cutlet.
Bukan sahaja stik, pencuci mulut juga tidak mengecewakan. Rasa seperti mahu sahaja memesan satu lagi hidangan Chocolate Trifle Cake selepas merasai kenikmatannya yang tersendiri.
Dalam pada itu, menurut Sous Chef Zulkifli Ahmad, daging-daging tersebut akan diperap selama satu ke dua jam sebelum dipanggang.
“Kami menggunakan resipi khas yang diadun untuk memberi rasa tersendiri dan berbeza berbanding restoran lain.
“Insya-Allah daripada maklumbalas yang kami terima setakat ini positif dan kami akan cuba untuk mengekalkan rasa sedia ada,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Seri Pacific Hotel, Azhar Mohamad berkata, idea tersebut tercetus selepas melihat sambutan ramai terhadap hidangan makanan Barat pada masa kini.
“ Kita lihat setiap restoran yang menjual stik sentiasa penuh dan orang ramai tidak kisah untuk membelanjakan wang bagi menikmati hidangan terbaik.
“Justeru bagi mereka yang mahu menikmati hidangan ini boleh membuat tempahan sama ada untuk makan malam atau tengah hari.
“Sekiranya mahu membuat tempahan sehingga pertengahan September ini akan ada potongan harga,” terangnya.