JANGAN pandang Perlis sebelah mata. Negeri yang paling utara dan terkecil di Malaysia ini berani saya katakan mampu menjadi salah satu ‘syurga’ makanan sebagaimana negeri-negeri lain.
Manakan tidak, kunjungan singkat baru-baru ini membawakan saya ke salah sebuah kafe yang sangat menarik iaitu Koffe Kitchen.
Bukan sekadar menampilkan konsep moden dengan pelbagai kemudahan termasuk internet, hidangan di kafe ini juga mempunyai cita rasa tersendiri sebagaimana kafe-kafe yang ada di ibu negara.
Sekiranya anda berkunjung ke negeri ini atau berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan ke Thailand, wajib singgah ke sini dan mencuba Creamy Carbonara bersama Lamb Grill.
Manakan tidak, rasa kenikmatan kambing panggang yang dimasak sempurna beserta kuah lada hitam dan dimakan bersama spaghetti lemak berkrim masih terasa di lidah sehingga kini.
Paling penting, kuah lada hitam di kafe ini tidak masin dan tidak terlalu pedas dihasilkan dengan resipi tersendiri dan sangat sesuai untuk kanak-kanak.
Dengan harga RM32.90, ia amat berbaloi dengan saiz hidangannya yang besar. Cuma tidak pasti sama ada pelanggan diberi pilihan untuk menikmati kambing atau pun ayam.
Selain itu, untuk mereka yang mahukan hidangan nasi, Buttermilk Chicken Rice boleh dicuba dan harga yang dikenakan adalah RM10.90 sahaja.
Terus terang saya katakan, nasinya sudah cukup sedap, lembut dan boleh dimakan begitu sahaja tanpa lauk . Paling penting tidak memuakkan walaupun dimakan dalam kuantiti yang banyak.
Sekiranya anda mahukan burger, Buttermilk Chicken Burger yang berharga RM15.90 patut dicuba dan saya pasti, ia sudah cukup mengenyangkan dengan saiz hidangan yang besar beserta kentang goreng.
Di samping hidangan yang berat, pengunjung boleh mencuba kek Biscoff Burnt Cheese atau Medovic Berrytachio dengan kedua-duanya berharga RM15.90.
Rasanya tidak perlu diperkatakan lagi dan anda perlu datang mencuba sendiri keenakan kek-kek yang ada di sini.
Pada saya, tidak lengkap menikmati kek di sini tanpa kopi yang rasanya tidak ubah seperti jenama terkenal.
Saya juga tidak hairan sekiranya anda sekali lagi berkunjung ke Koffe Kitchen selepas memesan Honey Jujube Latte yang betul-betul ‘terangkat’ selepas mencubanya.
Menurut Pengurus Koffe Kitchen Ismazatulshahira Isman berkata, kafe mereka menggunakan 30 peratus campuran kopi robusta manakal selebihnya arabica.
“Selain kopi kita juga ada minuman seperti Ice lemon Mojito Moctail dan ais krim Coconut Frappe untuk mempelbagaikan lagi menu dan memberi pilihan kepada mereka yang tidak meminum kopi.
“Paling penting semua hidangan di sini menggunakan bahan berkualiti untuk memberi kepuasan kepada pengunjung,” jelasnya.
Koffe Kitchen
Lokasi: 27, susur keluar Jalan Raja Syed Alwi, Jalan Guar Syed Alwi, Kangar, Perlis.
Waktu operasi: Setiap hari kecuali Isnin dari pukul 2.30 petang sehingga 11.30 malam