DUSUN Riffaa yang terletak di Sungai Kecil, Changlun dekat Kubang Pasu, Kedah bukan sembarangan dusun durian kerana sejak kebelakangan ini meraih perhatian ramai apabila ratusan orang mengunjungi tempat itu setiap hari.
Dusun durian ini menjadi lokasi penggemar alam semula jadi dan disukai ramai ‘kaki makan’ kerana di situ juga tempat mereka boleh menjamu selera dengan makanan autentik dari negara Gajah Putih.
Tempat makan yang istimewa ini menyediakan pelbagai menu makanan tradisional Thai termasuk miang pla atau salad ikan menggunakan siakap atau tilapia segar bersama ulam-ulaman yang jarang ditemui di negara ini melainkan di Thailand.
Menarik tentang miang pla yang dihidangkan bersama lima jenis ulam dan salad, suhun, bawang goreng serta tiga jenis sos istimewa ini adalah ikan akan dibakar segar bersama rempah ratus dan serai yang disumbat dalam perut.
Ramuan itu sebenarnya menjadikan miang pla di Dusun Riffaa ini enak dan ikan juga tidak hanyir seperti komen rata-rata pengunjung.
Menu lain adalah daging bakar Danok, pulut mangga, laksa Siam, manisan luk chup, bakso dan buah-buahan bersama garam belacan khusus dari Thailand.
Minuman pula, teh ais dan teh hijau yang cukup popular dari Thailand di samping sirap hijau dan merahnya.
Bak kata orang kalau mengidam makanan Siam tidak perlu ke Danok lagi kerana di Dusun Riffaa juga masakan seasli dan selazat di sana boleh didapati.
Jadi, bukan sesuatu yang menghairankan apabila dusun ini walaupun terletak kira-kira 58 kilometer dari bandar raya Alor Setar namun tetap dikunjungi ramai semata-mata untuk menjamu selera.
Itu belum bercakap tentang jalan tanah merah yang terpaksa dilalui untuk ke tempat itu.
Barangkali juga di samping makanan yang enak itu, suasana nyaman dan damai bersulam aliran air sungai yang menenangkan menjadikan tempat ini sangat unik.
Terdapat sebatang sungai yang sejuk dan jernih airnya merintangi dusun ini sekaligus turut membolehkan pengunjung mandi-manda sambil menjamu selera.
Dusun ini turut menyediakan kemudahan lengkap seperti tandas dan surau untuk pelanggan yang ingin berlama-lama di situ.
Suasana persekitaran dusun juga sangat indah dengan kehadiran enam rumah kayu yang akan dijadikan sebagai chalet penginapan tidak lama lagi.
Salah satu daripadanya adalah sebuah rumah kayu berusia lebih 100 tahun yang dimiliki oleh generasi pertama keluarga pemilik dusun ini.
Terletak di kawasan seluas 0.6 hektar, dusun berkenaan dimiliki pasangan suami isteri yang juga usahawan pakaian terkemuka di negeri ini, Mohd. Rizal Ramli, 43, dan Wan Fatimah Megat Saad, 38.
Menurut Wan Fatimah, cetusan idea di sebalik pembukaan tempat makan itu sejak 1 Ogos lalu adalah bermula daripada keinginan untuk mencuba sesuatu baharu selepas 17 tahun berkecimpung dalam bisnes pakaian.
“Saja mahu cuba tapi tak sangka dapat sambutan menggalakkan. Sehari kami mampu menjual sehingga 100 hidangan miang pla yang menjadi signature menu di sini. Tukang masak memang pakar masakan Thai jadi semua menu ini adalah asli dari sana.
“Kami ingin memberi kelainan kepada orang ramai kerana banyak kawasan seperti ini menyediakan masakan Melayu atau kampung jadi kami pilih masakan Thai pula,” katanya ketika ketika ditemui di Dusun Riffaa baru-baru ini.
Dusun Riffaa dibuka dari pukul 12 tengah hari sehingga 7 petang setiap hari dan pengunjung digalakkan membuat tempahan terlebih dahulu, pemilik Butik Riffaa ini mengingatkan.
“Kawasan letak kereta di dusun ini agak terhad ketika ini kerana hanya mampu memuatkan 50 kenderaan sahaja dan kami baru beli sebidang tanah lagi bersebelahan yang dalam proses meratakan kawasan itu untuk dijadikan tempat letak kereta,” terangnya.
DUSUN RIFFAA CHANGLUN
Lokasi Sungai Kecil, Changlun Kubang Pasu Kedah
Waktu operasi, 12 tengah hari hingga 7 petang