Hidangan kampung Kedai Makan ‘ATM’ padu! - Utusan Malaysia

Hidangan kampung Kedai Makan ‘ATM’ padu!

Shahrul Nizam, menunjukkan pelbagai masakan yang membuka selera pengunjung.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMBANG mata seketika sebaik melihat pelbagai juadah di Kedai Makan Abang Tukang Masak (ATM).
Pengunjung boleh menjamu pelbagai hidangan di restoran ini daripada masakan kampung sehinggalah makanan Arab, Thai, Indonesia mahupun makanan ala Barat.
Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan cita rasa hidangan di restoran ini mencapai kualiti bertaraf hotel lima bintang terutama masakan kampungnya.
Paling menarik, menu daging masak lemak wajib dicuba dan jujur saya katakan ini antara menu masakan terbaik pernah dirasa setakat ini. Manakan tidak, hirisan daging yang lembut dan kuah masak lemak yang tidak terlalu pedas serta cukup rasa menjadikan menu ini sangat sempurna.
Di samping itu, kuahnya juga pekat dan berlemak amat sesuai sekiranya dimakan tanpa ada adunan lauk lain bersama nasi.
Selain masak lemak daging, menu wajib cuba adalah mi ayam dan bakso yang menepati cita rasa masyarakat di negara ini.
Menurut pemilik restoran ini, Sharul Nizam Kamal, dia mempunyai cara tersendiri untuk memastikan setiap bahan digunakan dalam masakan sesempurna dari segi kualiti serta kuantiti.
“Saya mencuba dan rasa setiap bahan yang mahu digunakan. Benda ini saya dah buat sewaktu mahu belajar apa jua resipi, lebih-lebih lagi menu dari negara lain.
“Apabila cuba setiap bahan itu, baru kita tahu rasanya bagaimana. Daripada situ nanti kita juga boleh olah sedikit masakan. Sebagai contoh, ada berpandangan untuk menambah rasa manis dalam hidangan masak merah perlu ditambah gula. Sebenarnya boleh tambah bawang merah,” jelasnya.
Bagaimanapun, menurut Shahrul Nizam, untuk pengunjung yang mahu mencuba masakan kampung atau makanan Arab perlu membuat jumlah tempahan terlebih dahulu sekurang-kurangnya dua hari sebelum.
“Untuk masakan Thai dan masakan Barat, mereka boleh datang ke kedai kami yang dibuka setiap hari dari pukul 2 petang sehingga 11 malam.
“Mereka boleh memesan apa jua makanan kampung bermula untuk hidangan dua orang sehingga mencecah ratusan pengunjung,” ujarnya.
Dalam pada itu Shahrul Nizam berkata, restoran itu turut memperkenalkan konsep lain daripada lain iaitu membantu golongan susah.
“Setiap 50 peratus keuntungan hasil jualan akan diberikan kepada yang memerlukan dan ia bermula sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Setakat ini sudah 3,000 orang menerima bantuan barangan keperluan selama enam bulan. Selain itu, restoran ini juga boleh digunakan untuk tempat mengadakan majlis perkahwinan atau pertunangan tanpa bayaran. Mereka hanya menempah makanan sahaja,” ujarnya.
Paling penting, harga makanan di kedai ini tidaklah mahal dan sama sebagaimana di restoran lain walaupun sebahagian keuntungan disalurkan kepada mereka yang memer­lukan.

Kedai Makan Abang Tukang Masak
Lokasi: C-G01,Block C, Plaza Suria, Jalan PJU 10/4c, Damansara Damai, 47830 Petaling Jaya, Selangor.
waktu operasi: 2 Petang hingga 11 malam (setiap hari)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya