Ayam Mukbang tarikan Nasi Ayam Mak Chili - Utusan Malaysia

Ayam Mukbang tarikan Nasi Ayam Mak Chili

HMAD Fadhilat Fitri (kanan) dan Eksekutif Pemasaran Nasi Ayam Mak Chili, Isaac Osman menunjukkan menu yang terdapat di restoran berkenaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA bercerita mengenai nasi ayam, pasti ramai terbayangkan menu ringkas yang menjadi pilihan rata-rata daripada kita sebagai makanan tengah hari.
Walaupun ringkas, bagi penggemar hidangan ini, mereka semestinya tahu kelainan bahan-bahan digunakan selain skill serta cara memasak tersendiri untuk kualiti yang lebih baik.
Apa yang menarik, walaupun menu nasi ayam adalah hampir sama di seluruh Malaysia, ia sebenarnya mempunyai rasa berbeza termasuk di Restoran Nasi Ayam Mak Chilli.
Dengan mempertaruhkan dua jenis hidangan iaitu ayam yang digoreng dan dikukus, ia sudah cukup untuk menarik penggemar tersendiri.
Ini kerana, kedua-dua menu ini mempunyai kekuatan tersendiri iaitu diperap dengan rempah dan herba sekurang-kurangnya lapan jam sebelum dimasak.
Malah, pelanggan tidak perlu bimbang sekiranya memesan nasi ayam yang distim kerana tiada sebarang bau hanyir selain isinya dimasak dengan sempurna.
Selain itu, rasa rempah dan herba juga ada pada setiap inci daging ayam yang distimkan, sekali gus mengetepikan tanggapan saya bahawa hidangan seperti ini hanya mempunyai rasa tawar semata-mata.
Bagi mereka yang mahukan protein tambahan, pengunjung juga boleh memesan hidangan ayam bersaiz besar atau ‘jumbo’ .
Pada saya, saiz hidangan sebegini mungkin lebih sesuai dan menjadi kegemaran bagi mereka yang mahu mendapatkan fizikal badan seperti ahli bina badan.
Selain kekuatan tersendiri pada masakan ayam yang diperap dan saiz hidangan, tekstur nasi yang lembut dengan sedikit rasa herba pasti membuatkan pengunjung tidak segan untuk menambah hidangan.
Malah, anda mungkin terpaksa melupakan diet seketika semata-mata untuk menikmati hidangan ini dengan lebih puas jika datang ke restoran ini.
Bagaimanapun, bagi pengunjung yang sukakan makanan pedas, setiap hidangan perlu dipesan dengan sos cili tambahan.
Paling penting, harga bagi kedua-dua menu nasi ayam ini bukanlah harga ‘kayangan’ dan masih dikira berpatutan jika dibandingkan dengan harga di restoran jenama terkenal yang menghidangkan menu sama iaitu RM10.90 sen untuk hidangan bersaiz biasa, manakala RM 19.80 sen untuk hidangan bersaiz besar.
Dalam pada itu, Pengurus operasi restoran, Ahmad Fadhilat Fitri Ismail berkata, kedai tersebut beroperasi lebih sebulan lalu dengan cuba mengetengahkan menu ringkas namun memberikan rasa kepuasan kepada setiap pelanggan.
“Kami akan menambah bilangan menu lain dari semasa ke semasa untuk memastikan pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan selepas ini.
“Namun, apa yang paling penting buat masa ini, kami mahu berikan kepuasan kepada pelanggan dengan rasa nasi ayam sebenar sebelum menambah menu lain, “ jelasnya.

Restoran Nasi Ayam Mak Chilli
Waktu operasi: Setiap
hari kecuali Jumaat
Pukul 11.30 pagi hingga 6 petang
Lokasi: di G-23, Maxim Citylight Jalan Sentul Pasar,
Taman Pelangi, Sentul Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya