Port ikan bakar, air buah gelas besar

Port ikan bakar, air buah gelas besar

port ikan bakar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAM Minggu bermula petang Khamis, Jumaat dan Sabtu, kedai makan yang terletak di tepi jalan ini tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan yang menunggu untuk makan bersama keluarga.

Sementara menunggu, pelanggan yang pastikan tidak sabar menjamu selera, boleh menyaksikan proses makanan disiapkan iaitu bermula menyiang, melumur rempah dan membakar ikan di satu sudut khas ruang kedai.

“Pelbagai jenis ikan segar hasil pancingan dan tangkapan nelayan bubu dari Kuala Tok Bali dan Kuala Besut adalah bahan utama untuk diratah atau dicecah kicap dan sambal pedas oleh pengunjung.

“Akhirnya yang tinggal adalah pinggan yang dipenuhi sisa tulang ikan. Itulah kepuasan kami dengan pengakhiran melihat pelanggan menjilat jari.”

Demikian kata pengurus kedai Port Ikan Bakar dan Air Buah Gelas Besar, Mohd. Faiz Izuddin Azahar, 22, kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Resipi masakan berasaskan ikan segar menjadi daya pemikat menggamit pelanggan untuk setia berkunjung ke situ.

Menurutnya, keistimewaan Port Ikan Bakar Tok Bali adalah penyediaan pelbagai ikan gred A yang segar dibakar sama ada berempah atau dibakar kosong untuk dicecah dengan sos atau kicap berlada.

“Kami menawarkan bersama 15 jenis air buah dalam gelas saiz besar mengikut cita rasa dan pilihan pelanggan. Ditawarkan juga dua jenis air buah special iaitu gabungan tiga jenis buah-buahan tempatan karya adunan kami sendiri.

“Selain itu, terdapat juga jus kurma pisang yang mana jus ini dikombinasikan antara buah kurma dalam bilangan tunggal dan pisang berangan yang menampilkan rasa lemak manis yang pastinya bernutrisi manakala air kosong untuk minuman adalah percuma,” jelasnya.

Mohd. Faiz berkata, seorang pekerja ditugaskan mengalu-alukan kedatangan pelanggan, mengambil suhu pelanggan dan meminta rekod catatan diisi di laluan masuk sebagai mematuhi standard operasi prosedur (SOP) selain memberi ingatan tentang penjarakan fizikal seperti yang diwajibkan oleh pihak berkuasa.

Katanya, sepanjang pandemik Covid-19 dan pematuhan SOP, kedai berkenaan hanya mampu menampung 60 pelanggan dalam satu-satu masa.

“Selain keluarga yang berkunjung untuk menjamu selera terdapat juga pelanggan yang datang hanya untuk membeli nasi dan lauk yang dibungkus.

“Malah, pelanggan setia membuat tempahan awal untuk mengambil makanan dan minuman siap bungkus pada waktu yang dijanjikan. Paling laris adalah masakan ikan tiga rasa dan sotong celup tepung,” katanya.

Pemuda yang memiliki Diploma Teknologi Maklumat dan Komputer dari Politeknik Muazam Shah lebih selesa menjadi tukang masak di kedai makan yang diusahakannya sejak setahun lalu dengan menolak semua tawaran kerja yang berkaitan bidang kemahiran yang dimilikinya.

“Saya menjadikan ruang dapur sebagai gedung ilmu dan universiti untuk belajar memasak dengan tukang masak dari negara jiran.

“Pengalaman bekerja di kedai makan dan menimba ilmu menerusi maya serta cuba memasak memberi keyakinan kepada saya untuk menyajikan hidangan kepada pelanggan.

“Kalau sedap, jangan maklumkan kepada kami, sebarkan kepada orang ramai. Kalau tidak serasi dengan masakan kami atau tidak enak, maklum terus kepada saya yang sedia menerima teguran untuk memperbaiki dan memberi perkhidmatan terbaik,” katanya.

Mohd, Faiz berkata, kedai makannya yang terletak di jalan utama Bachok-Tok Bali- Terengganu mudah disinggahi pelanggan terutama pada waktu malam kerana hampir keseluruhan bangunannya dihiasi dengan cahaya lampu berwarna-warni.

Katanya, untuk menu sarapan pagi kedainya menyediakan nasi kerabu tumis, nasi putih dengan pelbagai lauk-pauk termasuk ikan kembung bakar percik, kerutuk daging dan gulai itik serati (itik nila) yang turut memiliki pelanggan setia. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya