“ALLEYCATS mampu menyatupadukan rakyat Malaysia sedangkan ahli politik belum tentu dapat melakukan sedemikian.”
Itu antara petikan komen yang masih boleh dibaca pada video lagu Andainya Aku Pergi Dulu yang dimuat naik di YouTube sejak 13 tahun lalu dan mencatat sembilan juta jumlah tontonan.
Sememangnya bait-bait lirik Senandung Malam, Jika Kau Bercinta Lagi dan Sampaikan Salam Cintaku seolah-olah mewujudkan simbiosis yang menyatukan masyarakat berbilang bangsa di negara ini.
Namun, perubahan zaman dan peredaran masa menyaksikan vokalis kumpulan yang mula aktif pada 1969 itu hanya tinggal seorang yang masih kekal menyanyi.
Pada usia 72 tahun, Datuk David Arumugam masih setia memegang mikrofon untuk menjayakan persembahan, tanpa adiknya, Loganatahan Arumugam yang meninggal dunia akibat barah paru-paru pada 2007.
Mengimbas kenangan awal pembabitan dalam dunia seni, David yang lahir pada 3 Mei 1950 memberitahu, mereka pernah tidak dibayar apabila acara dibatalkan penganjur pada saat akhir.
Anak keenam daripada 11 beradik itu bagaimanapun, menganggap ia adalah antara cabaran yang mereka perlu lalui selepas nekad terjun dalam industri muzik.
Pada awal kemunculan, Alleycats dianggotai Loganathan (vokal dan seruling); Shunmugam (gitar); Chester Anthony Passerella (saksofon); Khooo Fook Sin (papan nada); Tan Chin Hock (dram), Greenville (papan nada) dan Frank Ong (bass).
Darah seni mengalir dalam tubuh dua beradik selaku vokalis itu melalui ibu mereka yang merupakan penyanyi lagu klasik Tamil. Dia sering membawa David dan adiknya menemani setiap kali sesi persembahan.
Pengalaman melihat ibu membuat persembahan menanam keghairahan yang kuat untuk dia berjinak-jinak dalam muzik pada usia sangat muda.
David akhirnya berhenti sekolah pada usia 17 tahun kerana beranggapan subjek Sejarah dan Geografi tidak membantu perkembangan kerjaya muziknya ketika itu.
Lebih 20 album
Berasal dari Georgetown, Pulau Pinang, hampir kesemua lagu dan lirik kumpulan legenda ini ditulis oleh sifu muzik, Datuk M. Nasir.
Sentuhan magis M. Nasir berjaya membuatkan koleksi lagu Alleycats malar segar dan tidak jemu didengar.
David berkata, tugasnya sebagai penyanyi hanya perlu menjiwai dan menyampaikan lagu dengan sepenuh penghayatan.
Berbeza ketika muda, David kini perlu dibantu papan lirik setiap kali membuat persembahan supaya tidak berlaku kesilapan.
Alleycats yang menghasilkan album studio baharu pada setiap empat dekad berbeza menyaksikan hampir 28 album pernah diterbitkan.
Di antara 1978 hingga 1993, Alleycats tanpa gagal melahirkan album setiap tahun seperti Terima Kasih (1978); Penyanyi (1979); Dapatkah (1980); Alleycats 4 (1981), Dilema Sekuntum Cinta (1989) dan C.I.N.T.A (1990).
Album ke-28 yang juga kompilasi sempena ulang tahun ke-40 mereka diterbitkan pada 2008.
Pada 1976, kumpulan ini pernah membuat persembahan di kelab Mocambo di Hong Kong.Atas permintaan dan sambutan hebat, kontrak persembahan mereka dilanjutkan selama tiga tahun.
Alleycats berpindah ke Singapura selepas menerima tawaran merakamkan album. Di Singapura, album bahasa Melayu pertama berjudul Terima Kasih diterbitkan pada 1978, menampilkan dua vokalis adik-beradik yang terkenal dengan gaya rambut afro itu.
Album keempat, Alleycats 4 melonjakkan nama kumpulan ini ke mercu teratas persada muzik tempatan pada awal 1980-an, sebaris artis berkumpulan lain seperti Black Dog Bone, Carefree, Sweet Charity serta banyak lagi.
Jenama masih utuh
Kewujudan kumpulan ini dianggap penting kepada industri muzik ketika itu. Sehingga hari ini, mereka masih dianggap sebagai kumpulan muzik teragung dalam sejarah muzik Malaysia.
Sungguhpun banyak mengalami perubahan dalam kalangan ahli, jenama Alleycats masih utuh di persada seni. Malah, David masih laris menerima undangan persembahan.