Sukar terima perpecahan Carefree - Utusan Malaysia

Sukar terima perpecahan Carefree

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIADA siapa dapat menafikan keampuhan suara dimiliki penyanyi yang cukup dihormati ini.
Sehingga kini, belum ada mana-mana penyanyi yang mampu meniru keunikan suara pemilik nama lengkap, Mohd. Fauzi Darus atau lebih dikenali sebagai Jay Jay ini.
Jay Jay bermula sebagai vokalis kumpulan Carefree pada awal kemunculannya dalam industri seni tanah air, sekitar 1979.
Bersama kumpulan tersebut, penyanyi asal Kelantan ini melahirkan empat album, termasuk Kebebasan dan Kebebasan II (1979), Kebebasan III (1980) dan sebuah album kompilasi, The Best Of Carefree (1993).
Penyanyi berusia 65 tahun ini juga telah melahirkan lebih daripada enam album solo seperti Jay Jay yang diterbitkan pada 1984, Kau Yang Tersendiri (1985), Keasingan Dalam Luka (1986), Kurnia (1988), Bersama (1990), Jay Jay ’97 (1997) dan Emosi (2009).
Sepanjang penglibatan dalam dunia hiburan, Jay Jay merangkul tiga anugerah berprestij antaranya Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular (ABP) 1988, Vokal Lelaki Terbaik, Anugerah Industri Muzik 1998 dan Juara Kategori Pop Rock bagi Anugerah Juara Lagu 1998 menerusi lagu Joget Angan Tak Sudah.
Pada pertemuan selepas tamat persembahan untuk program Salam Dari Maya, baru-baru ini, Jay Jay menceritakan tentang perjalanan awalnya sebagai anak seni. Katanya, dia mula aktif bermain muzik pada usia 12 tahun.
“Saya bermula sekitar awal 1970-an di Kota Bharu sebagai pemain dram untuk kumpulan The Cats. Orang yang banyak mendorong saya pada ketika itu adalah cikgu Malik, yang juga seorang pemain gitar.
“Tidak ada seorang pun dalam keluarga saya yang bermain muzik atau menjadi penyanyi.

Bakat semula jadi
“Pada awalnya, ayah yang juga anggota polis tidak membenarkan saya bermain muzik,” ceritanya.
Pengalaman awal Jay Jay sebagai penyanyi bermula apabila dia menyertai pertandingan nyanyian di sekolah.
Kata Jay Jay, itu kali pertama dia menyedari mempunyai bakat dalam bidang nyanyian.
“Sebelum itu, saya hanya bermain muzik. Pada usia 15 tahun, baru saya mula menyanyi dengan menyertai satu pertandingan di Sekolah Menengah Kota Bharu.
“Saya masih ingat membawakan lagu By The Time I Get To Phoenix yang dipopularkan oleh Glen Campbell. Masa itu, saya masih menuntut di Tingkatan Tiga,” katanya yang banyak menerima pengaruh muzik daripada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, kumpulan The Beatles dan Rolling Stone.
Kongsi Jay Jay, impian untuk menjadi anak seni sudah ditanam pada usia muda lagi.
“Memang saya sudah letak matlamat untuk menjadi pemuzik dan penyanyi sejak kecil. Saya ingat lagi, apabila ditanya cikgu tentang cita-cita, saya jawab pemuzik.
“Saya mula belajar bermain muzik adalah melalui buku yang saya peroleh dari Thailand. Dulu tidak ada televisyen, jadi saya banyak belajar daripada bahan yang saya peroleh dari negara jiran. Saya masih simpan sehingga hari ini,” ceritanya.

Jodoh dengan peminat

Menceritakan tentang pengalaman manis sepanjang bergelar penghibur, Jay Jay memaklumkan, konsert pertama Carefree di Malaysia dan Singapura adalah yang paling berbekas di hati.
Katanya, konsert di Singapura antara yang paling istimewa kerana di situ, dia bertemu dengan pasangan hidupnya.
“Konsert pertama Carefree, Rindu Bayangan di Stadium Negara pada 1980. Ia konsert pertama dan terbesar kami sebagai sebuah kumpulan.
“Memang tidak dapat dilupakan apabila melihat stadium penuh dengan kehadiran peminat yang berpusu-pusu datang menyaksikan persembahan kami.
“Konsert di Panggung Negara Singapura, juga berlangsung pada tahun sama. Di situ, saya bertemu dengan isteri. Dia merupakan peminat Carefree dan tidak sangka, dia menjadi jodoh saya,” katanya.

Sementara itu, berkongsi tentang pengalaman sedih, Jay Jay memaklumkan, perpecahan Carefree adalah antara episod pahit yang masih diingatinya sehingga sekarang.
“Bukan hari-hari kita ketawa, ada gembira dan duka. Carefree berpecah pada hari terakhir 1982, tahun sama saya mendirikan rumah tangga.
“Ada sebab yang membawa perpecahan Carefree, tetapi tiada kaitan dengan hal peribadi. Masing-masing mempunyai haluan kerjaya sendiri.
“Ketika itu, saya buntu dan tidak tahu ke mana haluan. Saya seboleh-bolehnya tidak mahu Carefree berpecah. Ia adalah perkara yang terlalu sukar untuk saya terima. Saya melihat masa depan gelap selepas perpecahan kami,” terangnya.

Sudirman insan mulia

Antara individu yang hadir memberi pertolongan kepadanya ketika berdepan fasa sukar selepas perpecahan Carefree adalah penghibur nombor satu Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.
Kata Jay Jay, dia menyifatkan penyanyi itu sebagai manusia berhati baik yang selalu membantu rakan artis lain dalam kesusahan.
“Allah Maha Adil. Dia berikan saya sesuatu yang lebih baik tanpa diduga. Selepas Carefree berpecah, saya ditawarkan Allahyarham Sudirman yang kebetulan sedang mencari pemuzik untuk persembahannya.
“Saya sifatkan Allahyarham sebagai manusia berhati mulia. Dia tahu saya terkontang-kanting selepas perpecahan Carefree, jadi dia ambil saya bekerja. Saya dan isteri sangat rapat dengan arwah,” kongsinya.

Jaga suara,
tidak merokok
Ketika menyaksikan persembahan Jay Jay pada konsert Salam Dari Maya, baru-baru ini, ramai terpegun dengan kualiti suara penyanyi ini yang umpama ‘telan kaset’.
Jay Jay membuktikan, penyanyi senior sepertinya masih boleh menyanyi dengan baik, meskipun sudah meningkat usia. Apabila ditanya tentang amalannya, Jay Jay berkongsi tips berguna.
“Kena ada disiplin tertentu untuk jaga suara, lebih-lebih lagi sebelum membuat persembahan. Kena berpantang.
“Saya tidak merokok kerana berdasarkan apa yang rakan saya maklumkan, tekak perokok ini akan sentiasa kering. Sebagai penyanyi, susah mahu menyanyi kalau tekak kering.
“Sebelum orang tua merestui saya untuk menjadi penyanyi, mereka terlebih dahulu berpesan agar saya menjauhi rokok dan arak. Sampai sekarang saya pegang janji itu,” jelasnya.
Ditanya tentang perkembangan industri seni semasa, Jay Jay berkata, penyanyi sekarang kurang memiliki lagu yang bagus.
“Industri mempunyai banyak penyanyi yang bagus, baik lelaki mahupun wanita. Malangnya, kita kekurangan lagu baharu yang baik.
“Waktu saya dahulu, penyanyi baru akan ada lagu dan album yang mendapat sambutan. Situasi itu menyemarakkan lagi ekosistem dunia hiburan.
“Penyampai radio juga seronok putarkan lagu yang sedap didengar. Pendengar pula gembira dengan lambakan lagu berkualiti yang ada di pasaran,” katanya. – Pancaindera

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya