“Bro, malam esok lu free tak? Joe nak ajak lu datang studio dia,” itu antara perbualan awal ketika penulis dihubungi oleh Noh Alonso yang merupakan pengurus kepada Joe Branko.
Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, sama sekali penulis tidak menolak pelawaan tersebut, malah berasa lebih teruja, apatah lagi di saat Joe dan Muss sedang membuat persiapan untuk konsert Barbarik, Pentas Keras yang bakal diadakan pada 24 Disember depan, pukul 8.45 malam di Zepp Kuala Lumpur.
Apa yang menariknya pada konsert ini adalah dua legenda rock akan berkongsi pentas menterjemahkan sebuah persembahan yang boleh dikategorikan sebagai kolaborasi dan naskhah yang amat dinantikan oleh peminat rock tanah air.
Muss atau nama sebenarnya Mustaffa Din, 54, bukanlah nama asing dalam industri muzik negara. Selain menempa nama puluhan tahun bersama May, dia juga pernah menganggotai Wings sebelum mengambil keputusan untuk bergerak solo.
Keupayaannya menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi dengan lenggok tersendiri merupakan signature yang tidak mampu ditandingi penyanyi lain. Dengan kekuatan itulah, rocker kelahiran Ipoh, Perak ini masih mampu bertahan dan kekal relevan sehingga kini.
Menurut Joe, kolaborasi bersama Muss boleh dianggap sebagai pertemuan semula setelah hampir 20 tahun terpisah apabila masing-masing membawa haluan sendiri. Namun, kehadiran Muss di pentas ini bukan bermakna mereka merancang untuk menubuhkan kumpulan baharu, tetapi ia lebih bersifat projek istimewa untuk menyelesaikan beberapa agenda tertangguh sebelum ini.
“Muss pernah merakamkan empat album bersama Wings, lagu-lagu dari album tersebut cukup popular, malah masih diminati peminat sehingga kini. Tidak salah untuk Muss kembali dan mengulangi memori kegemilangan itu, tambahan pula selepas album Mr. Barbarik dipasarkan, dia ambil keputusan undur diri. Dengan erti kata lain, dia tidak sempat promosikan album tersebut,” kata Joe panjang lebar.
Tidak dinafikan empat album sentuhan Muss, iaitu Biru Mata Hitamku, Mencari Asal Usul, Double Trouble 2 (bersama Search), Mr. Barbarik dan sebuah album raya berjudul Puisi Aidilfitri mempunyai kelainan dan identiti tersendiri. Muss dan Joe berjaya membawa muzik Wings keluar daripada landasan terdahulu, walaupun masih mengekalkan keaslian bunyinya.
Bagi Joe, idea untuk melamar Muss berkongsi pentas memang sudah lama difikirkan, namun perlu mengambil sedikit masa untuk membuat keputusan kerana ingin mendapatkan respons daripada peminat terlebih dahulu.
“Memang ramai peminat yang ‘terlupa’ dengan kewujudan album Mr. Barbarik ini, tetapi lepas kita announce tentang konsert ini, ramai yang mula selongkar balik kaset lama, dan ternyata feel itu datang kembali dan mahu kami teruskan projek ini.
“Bagi saya album Mr. Barbarik boleh dianggap sebagai dark album kerana ia cukup berbeza daripada album Wings terdahulu. Arrangement muziknya cukup unik berbanding yang lain. Mr. Barbarik punya keistimewaan sendiri yang sukar untuk dijelaskan,” cerita Joe.
AMBIL MASA BERI
KATA PUTUS
Noh Alonso ialah individu yang dipertanggungjawabkan untuk melamar Muss, namun katanya bukan mudah untuk dia mendapatkan kata putus. Tambahan pula, Muss punya komitmen lain, termasuk beberapa acara pentas yang sudah tercatat dalam kalender sehingga hujung tahun.
Bagi Muss pula, lamaran Joe untuk berkongsi pentas bukan sesuatu yang mudah untuk dipersetujui. Menilai semula karyanya bersama Wings membuatkan dia perlu berfikir panjang sebelum memberi kata putus.
“Saya kenal Joe dah lama. Walaupun kami berkawan baik, tapi saya tahu cara kerja dan apa yang dia inginkan. Dia cukup profesional dan inginkan kesempurnaan dalam menghasilkan sesuatu material, Jadi, bila dia jemput saya, pastinya saya kena fikir panjang. Bukan mudah nak layan lagu-lagu yang dirakam 20 tahun dahulu. Memang mencabar. Dulu lainlah, masih muda dan stamina pun power.
“Dahulu, saya fikir rakam album Mr. Barbarik ini memang buang masa sebab selesai recording, saya terus undur diri daripada Wings. Promosi langsung tak buat, tetapi tak sangka peminat masih bercerita dan dengar album tersebut. Sekaligus buatkan saya bersemangat untuk teruskan projek ini. Nampaknya kena bikin sesuatu untuk berikan yang terbaik buat peminat nanti,” kata Mus tertawa kecil.
MUKADIMAH
‘BUANG KARAT’
Hampir dua jam penulis menghabiskan masa di studio Joe yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur untuk melihat sesi latihan mereka. Walaupun ia merupakan malam mukadimah ‘buang karat’ dalam fasa menyatukan dua figura hebat ini, keserasian mereka masih terserlah. Langsung tidak janggal, malah beberapa lagu yang mereka ‘layan’ malam itu nampak lancar tanpa cacat-cela.
Dibantu oleh tiga pemuzik handalan, iaitu Ainoll (drum), Rozaimie (gitar bass) dan Adi Yamin (keyboard/piano), kemantapan kesan bunyi yang dihasilkan cukup terserlah, malah sukar untuk penulis mencari ruang lompong yang ditinggalkan.
Seperti kebiasaannya, alunan melodi dari petikan gitar Joe merupakan kunci utama. Walaupun tidak menggunakan khidmat gitar kedua (second lead) dalam persembahan, tetapi ia masih lengkap dan memukau. Kesinambungan bunyi yang dihasilkan dilihat mampu menguasai dan memenuhi ruang pentas. Di situlah identiti dan kelebihan pemain gitar yang berasal dari Muar, Johor ini. Tidak hairanlah apabila peminat rock tanah air melabelkan dia sebagai salah seorang pemain gitar terbaik Malaysia.
Bagi Muss pula, sesi latihan pada malam itu adalah lebih kepada mencari rentak setelah hampir 20 tahun tidak berada di pentas sama. Masih bertenaga dan mengekalkan corak nyanyian berkualiti, pastinya kolaborasi dua figura ini mampu menggegarkan pentas keras yang bakal direncanakan.
“Malam pertama ini kita layanlah lagu-lagu rileks dulu, nanti kalau speed terus terkejut pula anak tekak,” kata Muss berseloroh.
Saya dan beberapa rakan yang berada di situ tertawa kecil. Jauh di sudut hati, penulis percaya mereka bakal memberikan impak luar biasa pada persembahan yang bakal berlangsung nanti.
Peminat sudah lama rindukan lagu-lagu ‘berhantu’ mereka antaranya, Mayang Sulit, Hati Sulam Lain, Padamkan Lampu Tidur, Blues Ular Sawa, Biru Mata Hitamku, Enigma, Bukan Kerana Mentari dan banyak lagi.
Ayuh semua rockers, kita gegarkan pentas Zepp, pukul 8.45 malam pada 24 Disember nanti.
Ingat, ini bukan konsert Wings!
Ini bukan konsert MAY!
Tetapi konsert Barbarik, Pentas Keras!
Penulis adalah Ketua Unit MMTV.